Khamis, 8 Februari 2018 | 9:12am
Simbol Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 dilihat di tempat acara biathlon. - Foto REUTERS

Korea Utara tiada hasrat jumpa AS di Pyeongchang

SEOUL: Korea Utara tidak berhasrat untuk bertemu dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) semasa Olimpik Musim Sejuk yang bermula esok, kata agensi berita rasmi KCNA memetik seorang pegawai kanan Korea Utara sebagai berkata.

Kementerian Perpaduan Seoul berkata semalam, kakak pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Yo Jong, merancang untuk melawat Korea Selatan sebagai sebahagian daripada delegasi peringkat tertinggi menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik di bandar peranginan Pyeongchang.

Pembukaan itu juga akan dihadiri oleh Naib Presiden AS Mike Pence, yang berikrar mengenakan sekatan baru yang keras terhadap Pyongyang berikutan program nuklear dan peluru berpandunya semalam dan menyifatkannya sebagai rejim paling kejam di dunia.

"Kami tidak pernah merayu untuk berdialog dengan AS dan ia akan kekal begitu di masa depan," kata KCNA hari ini, memetik ketua jabatan Amerika Utara kementerian luar negeri Korea Utara, Cho Yong Sam.

"Perlu dijelaskan di sini bahawa kami tidak berhasrat untuk bertemu dengan AS semasa lawatan kami ke Korea Selatan," kata laporan itu.

Yong Sam berkata, lawatan delegasi Korea Utara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk hanya untuk meraikan temasya sukan itu dan Pyongyang tidak berhasrat untuk menggunakan sukan Olimpik itu untuk tujuan politik. - Reuters

Berita Harian X