Selasa, 16 Januari 2018 | 11:29am
ARAB Saudi mula menayangkan filem animasi kanak-kanak minggu ini di panggung sementara, selepas larangan 35 tahun ke atas pawagam ditarik balik di negara itu. - Foto AFP

Arab Saudi tayang filem animasi kanak-kanak

RIYADH: Arab Saudi mula menayangkan filem animasi kanak-kanak minggu ini di panggung sementara, selepas larangan 35 tahun ke atas pawagam ditarik balik di negara itu.

Pawagam kekal pertama akan dibuka Mac ini, sebahagian usaha pembaharuan liberal yang sudah pun membuka pintu kepada penganjuran konsert, rancangan komedi dan pemandu wanita sejak tahun lalu.

Buat masa ini, pihak berkuasa membuka tempat sementara, seperti dewan budaya di bandar raya Jeddah yang dilengkapi projektor, permaidani merah dan mesin membuat bertih jagung.

"Sehingga kini, tiada infrastruktur bagi pawagam. Jadi kami memanfaatkan lokasi alternatif untuk tujuan itu.

"Kami cuba menggunakan filem ini sebagai titik permulaan sebagai tayangan pertama selepas keputusan pada 11 Disember lalu untuk membenarkan tayangan filem," kata Mamdouh Salim, jurucakap Cinema 70 yang menganjurkan tayangan selama seminggu.

Pawagam diharamkan pada awal 1980-an susulan tekanan golongan Islam ketika negara itu beralih menjadi bentuk konservatif agama yang tidak menggalakkan hiburan terbuka dan percampuran antara lelaki dan wanita.

Namun, pembaharuan dilakukan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 32, melonggarkan banyak sekatan, ketika kerajaan cuma meluaskan cabang ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.

Bagaimanapun, filem akan ditapis terlebih dulu untuk memastikan ia kekal selari dengan 'nilai moral' negara itu. - Reuters

Berita Harian X