Sabtu, 6 Januari 2018 | 4:51pm
SEORANG wanita Korea Selatan melihat gerai yang mempromosikan Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 di sebuah stesen di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA

Korea Utara mungkin sertai Olimpik Musim Sejuk

BEIJING: Wakil Sukan Olimpik Korea Utara, berkata negara terpencil itu mungkin menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, bulan depan.

Agensi berita Kyodo melaporkan, ia memberi petanda terbaru mengenai hubungan antara kedua-dua negara sering bertelagah itu.

Hasrat itu dinyatakan wakil Pyongyang ke Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Chang-ung dan dibuat sehari selepas Korea Utara dan Korea Selatan bersetuju mengadakan perbincangan minggu depan.

Persetujuan mengadakan rundingan peringkat tertinggi dibuat beberapa jam selepas Seoul dan Washington mengumumkan akan menunda latihan ketenteraan bersama yang menghantui Korea Utara.

Agensi berita Jepun itu berkata, Chang-ung membuat komen ringkas kepada wartawan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Menurut Kyodo, Chang-ung dipercayai dalam perjalanan ke Switzerland, pangkalan operasi IOC.

Kyodo yang memetik sumber melaporkan, lawatan itu mungkin bertujuan mengadakan perbincangan dengan IOC bagi membolehkan Korea Utara menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dalam ucapan sempena tahun baharu berkata, Pyongyang mengharapkan Sukan Olimpik akan mencapai kejayaan.

Ia dijadualkan pada 9 Februari hingga 25 Februari depan dan Jong-un menyatakan hasrat negaranya menghantar delegasi ke acara sukan berkenaan. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X