Khamis, 14 Disember 2017 | 12:29pm
FOTO hiasan
FOTO hiasan

Difteria catat peningkatan di Yaman

BEIRUT: Kes difteria menunjukkan peningkatan di Yaman yang akan merebak menjadi lebih besar dan bahaya kerana tidak ramai mengambil suntikan imunisasi.

Paling berisiko tinggi adalah kanak-kanak yang merangkumi ramai daripada lebih 280 kes disyaki difteria dan 33 kematian berkaitan dilaporkan sehingga kelmarin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kebanyakan kes dan kematian membabitkan kanak-kanak yang tidak diberi suntikan imunisasi menentang penyakit itu, jangkitan bakteria bahaya dan boleh membawa maut yang mudah merebak.

"Dibiarkan tanpa pemeriksaan, difteria boleh menyebabkan wabak teruk, yang memberi kesan besar kepada kanak-kanak," kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic.

Penularan difteria tidak dapat dielak di Yaman disebabkan kadar vaksin rendah, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan dan ramai orang bersentuhan dengan mereka yang dijangkiti, kata WHO dan pegawai Medecins Sans Frontieres (MSF).

Perang saudara di negara Asia Barat itu sudah meragut lebih 10,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Difteria merebak dengan mudah sebagai selesema biasa menerusi bersin, batuk malah bercakap, menurut pegawai kesihatan.

Yaman juga bergelut memerangi wabak taun yang menjangkiti sejuta penduduk. - Reuters

Berita Harian X