Ahad, 5 November 2017 | 9:38am
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Raja Khalid. - Foto AFP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Raja Khalid. - Foto AFP

Peluru berpandu dari Yaman dipintas

RIYADH: Arab Saudi memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik melintasi ibu kotanya yang dilancarkan dari Yaman dengan serpihan bertaburan di kawasan lapangan terbang antarabangsa di Riyadh.

Serangan peluru berpandu itu yang didakwa dilancarkan pemberontak Houthi adalah pertama menyasarkan Riyadh, menggariskan peningkatan ancaman diberikan susulan konflik di Yaman.

Penduduk di Riyadh melaporkan letupan kuat kedengaran berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di utara bandar raya itu selepas peluru berpandu berkenaan ditembak jatuh, namun pihak berkuasa berkata tiada kerosakan besar berlaku atau kehilangan nyawa.

"Peluru berpandu balistik dibedil dari Yaman ke arah Arab Saudi.

"Ia dilancarkan tanpa sengaja menyasarkan penduduk awam dan kawasan berpenduduk. Serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas itu bertaburan di kawasan tiada orang di lapangan terbang dan tiada kecederaan," kata jurucakap pasukan tentera pakatan, Turki al-Maliki.

Pemberontak Houthi yang membedil peluru berpandu itu dari Yaman lebih 1,200 kilometer dari Riyadh, berkata mereka menyasarkan lapangan terbang.

Pihak berkuasa sivil berkata, lapangan terbang berfungsi seperti biasa dan penerbangan beroperasi mengikut jadual walaupun penduduk berkata kenderaan keselamatan menutup sebahagian jalan. - AFP

Berita Harian X