Rabu, 1 November 2017 | 7:47pm
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA

Putin tiba di Iran untuk lawatan rasmi

TEHRAN: Presiden Vladimir Putin tiba di ibu kota Iran hari ini untuk lawatan rasmi, dengan rundingan dijangka memberi tumpuan kepada Syria, perjanjian nuklear Iran dan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Putin juga akan menyertai sidang kemuncak dengan rakan sejawatannya dari Iran dan Azerbaijan, Hassan Rouhani dan Ilham Aliyev.

Beliau akan mengadakan rundingan berasingan dengan Rouhani dan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, ketika Moscow dan Tehran bekerjasama dalam pelbagai isu termasuk konflik di Syria.

Kremlin berkata, Syria akan menjadi fokus perbincangan yang dibuat selepas Russia, Turki dan Iran berjanji di Kazakhstan semalam untuk membawa rejim Syria dan pembangkang bersama-sama untuk 'kongres' mencari usaha damai.

Russia dan Iran, yang menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad dan Turki, yang menyebelahi pemberontak Syria, menganjurkan siri rundingan damai di ibu negara Kazakhstan, Astana, tahun ini, bersetuju dengan penubuhan zon 'pengurangan perang' di beberapa wilayah di negara itu.

Rundingan hari ini juga memberi tumpuan kepada perjanjian nuklear Iran 2015, yang menyaksikan sekatan ditarik balik sebagai pertukaran kepada had bagi program atom Tehran. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X