Jumaat, 27 Oktober 2017 | 8:32pm
BAYI kembar siam lelaki yang bersambung di kepala berjaya dibedah di New Delhi. - Foto AFP
BAYI kembar siam lelaki yang bersambung di kepala berjaya dibedah di New Delhi. - Foto AFP

Doktor India pisahkan kembar siam cantum di kepala

NEW DELHI: Doktor di India berjaya memisahkan bayi kembar siam lelaki yang bersambung di kepala dalam prosedur berlangsung selama lebih 36 jam membabitkan 40 pegawai perubatan.

Kembar berusia dua tahun itu yang mengalami keadaan jarang ditemui satu bagi setiap kira-kira 2.5 juta kelahiran, menjalani pembedahan itu di sebuah hospital kendalian kerajaan di ibu kota ini, Rabu lalu.

"Pasukan terdiri daripada 40 doktor, 20 jururawat dan ramai kakitangan paramedik lain. Tanpa bantuan mereka, pembedahan tidak akan berjaya," kata hospital All India Institute of Medical Science dalam satu kenyataan.

Seorang daripada pakar bedah terbabit berkata, aspek paling mencabar ialah menutup lubang ditinggalkan di kepala kanak-kanak itu selepas mereka dipisahkan.

Kembar siam itu dilahirkan di sebuah perkampungan di timur negeri Odisha dan berkongsi salur darah serta sesetengah tisu otak. Mereka menjalani fasa pertama pembedahan pemisahan Ogos lalu.

"Tugas paling mencabar selepas pemisahan ialah menyediakan kulit untuk menutup kedua-dua belah otak kanak-kanak itu oleh kerana pembedahan menyebabkan lubang besar terbentuk pada kepala mereka.

"Kulit itu diambil daripada dua belon yang diletakkan dalam kepala mereka ketika pembedahan pertama Ogos lalu. Langkah berikutnya ialah pembinaan semula tengkorak mereka," kata pakar bedah plastik, Dr Maneesh Singhal. -AFP

Berita Harian X