Rabu, 25 Oktober 2017 | 9:16pm
PEMBINAAN unit-unit baharu itu menjadikan jumlah kediaman peneroka di penempatan Neve Zion mencecah hampir tiga kali ganda.- Foto Reuters
PEMBINAAN unit-unit baharu itu menjadikan jumlah kediaman peneroka di penempatan Neve Zion mencecah hampir tiga kali ganda.- Foto Reuters

Israel lulus 176 unit rumah baharu

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel hari ini meluluskan kerja perluasan terbesar kawasan pendudukan Yahudi di tengah kejiranan Palestin dekat Timur Baitulmaqdis, dengan mengeluarkan permit bangunan untuk 176 unit rumah baharu.

Jurucakap perbandaran Baitulmaqdis berkata, pembinaan itu yang diluluskan oleh jawatankuasa perancang bandar, dikecam warga Palestin sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Pembinaan unit-unit baharu itu menjadikan jumlah kediaman peneroka di penempatan Neve Zion mencecah hampir tiga kali ganda.

Kini ia mempunyai 91 kediaman dikelilingi rumah warga Palestin di kawasan kejiranan Jabel al-Mukaber.

Kawasan ini terletak di wilayah Israel yang ditawan dan dikuasai dalam peperangan Asia Barat 1967 dan dituntut oleh Palestin sebagai sebahagian daripada negara yang ingin ditubuhkan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Minggu lalu, Israel mengumumkan kelulusan pembinaan ratusan rumah tambahan untuk peneroka di Tebing Barat, mengundang kecaman dari Palestin dan Kesatuan Eropah (EU).

Kira-kira 500,000 warga Israel menetap di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, kawasan yang dihuni lebih 2.6 juta orang Palestin. - Reuters

Berita Harian X