X
Isnin, 11 September 2017 | 12:50pm
PERDANA Menteri Hun Sen. - Foto REUTERS
PERDANA Menteri Hun Sen. - Foto REUTERS

Dakwa pemimpin pembangkang

PHNOM PENH: Parlimen Kemboja hari ini mengadakan undian bagi membolehkan pendakwaan dijalankan ke atas pemimpin pembangkang atas tuduhan khianat.

Kem Sokha ditahan pada 3 September lalu, sekaligus menandakan peningkatan tindakan tegas terhadap pengkritik Perdana Menteri Hun Sen menjelang pilihan raya tahun depan.

Pilihan raya itu dikatakan bakal menjadi pilihan raya paling sukar dalam tempoh tiga dekad beliau memerintah sebagai Perdana Menteri.

Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang diwakili Kem Sokha memboikot proses undian Parlimen itu, tetapi Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen dijangka menang mudah untuk memperoleh undi majoriti.

Sementara itu, proses undian itu berakhir selepas 67 daripada 123 ahli Parlimen memilih untuk menyokong dan ia tidak mendapat sebarang bantahan.

Ia dilaksanakan bagi menentukan sama ada pendakwaan boleh dilakukan ke atas Kem Sokha berikutan status kekebalannya sebagai ahli Parlimen, yang melindunginya daripada tindakan undang-undang.

Setakat ini, bukti yang dikemukakan terhadap Kem Sokha hanya membabitkan rakaman video pada 2013 yang menunjukkan perbincangannya dengan warga Amerika Syarikat yang tidak dikenali identitinya, mengenai strategi untuk merampas kuasa.

Bagaimanapun, peguamnya membantah bukti terbabit dan menganggap ia sebagai tidak masuk akal kerana Kem Sokha hanya berbincang mengenai strategi pilihan raya.

Dalam pada itu, Presiden Persidangan Kebangsaan, Heng Samrin, berkata undian itu membolehkan kerajaan meneruskan tindakan menahan dan mendakwa Kem Sokha. - Reuters

Berita Harian X