Ahad, 10 September 2017 | 12:45am
TENTERA Syria berjaya memecahkan kepungan Daesh di lapangan terbang tentera di timur Deir Ezzor. - Foto AFP
TENTERA Syria berjaya memecahkan kepungan Daesh di lapangan terbang tentera di timur Deir Ezzor. - Foto AFP

Tentera Syria pecahkan kepungan Daesh

DAMSYIK: Tentera Syria semalam berjaya memecahkan kepungan Daesh di lapangan terbang tentera di timur Deir Ezzor, lapor media, beberapa hari selepas berjaya berbuat demikian di daerah penempatan di bandar raya itu.

Agensi berita SANA melaporkan, kejayaan itu dicapai selepas tentera mara dari kawasan perkuburan di barat daya Deir Ezzor yang ada kaitan dengan pasukan yang mengawal pangkalan udara.

Tentera melancarkan gerakan kelmarin ke arah lapangan terbang tentera yang dikepung, sebagai sebahagian serangan pelbagai hala untuk menawan semula keseluruhan timur bandar raya itu daripada Daesh.

Sejak 2014, Daesh menguasai sebahagian besar Deir Ezzor, yang bersempadan Iraq, dan kira-kira 60 peratus daripada ibu negeri wilayah itu.

Militan mengepung dua wilayah yang dikuasai tentera rejim Bashar al-Assad di barat Deir Ezzor, dan Selasa lalu tentera memecahkan sebahagian kepungan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria turut mengesahkan kejayaan tentera memecahkan kepungan itu. - AFP

Berita Harian X