Rabu, 6 September 2017 | 10:36pm

AS mohon maaf isu risalah gambar anjing

KABUL: Komander kanan Amerika Syarikat di Afghanistan, hari ini memohon maaf di atas risalah mengandungi ayat al-Quran digunakan pada sepanduk militan Taliban yang diletakkan di atas imej anjing.

Taliban berkata, risalah itu menunjukkan AS 'membenci' Islam.

Imej berkenaan, yang diedarkan oleh tentera AS di wilayah Parwan, utara Kabul, semalam menunjukkan anjing putih dengan sepanduk Taliban yang diubahsuai di sisinya.

Sepanduk itu mengandungi ayat al-Quran.

"Reka bentuk risalah secara salah mengandungi imej amat menghina umat Islam dan agama itu sendiri.

"Saya memohon maaf. Kami amat menghormati Islam dan umatnya di seluruh dunia," kata Mejar Jeneral James Linder dalam kenyataan.

Beliau menambah siasatan akan dilakukan untuk memastikan punca kejadian dan mencari pihak bertanggungjawab.

Gabenor Parwan, Mohammad Hassan, mengutuk risalah itu sebagai 'tidak dapat dimaafkan.' - Reuters

Berita Harian X