Sabtu, 26 Ogos 2017 | 10:22pm
PEKERJA penghantaran makanan mendengar taklimat pagi sebelum memulakan tugasan di Beijing. - Foto hiasan/AFP

Syarikat penghantar makanan diberi amaran

BEIJING: Polis memberi amaran kepada syarikat penghantaran makanan di Shanghai supaya mematuhi peraturan trafik selepas 76 penghantar cepat maut atau cedera di bandar raya itu dalam separuh pertama 2017.

Pesanan perkhidmatan menerusi aplikasi telefon pintar semakin popular di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan permintaan tinggi pengguna menyebabkan hampir semua perkara berada di hujung jari seperti khidmat menggunting rambut atau membeli tiket wayang.

Syarikat penghantar makanan Meituan-Dianping berkata, pesanan atas talian yang dihantar penghantar cepat adalah antara industri paling pesat berkembang dengan ia dijangka menghasilkan pulangan sebanyak 300 bilion yuan (RM45.12 bilion) pada 2018, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Siasatan polis trafik Shanghai mendapati, sebilangan besar syarikat gagal memastikan penghantar mereka yang saling berlumba di jalanan menggunakan motosikal elektrik, kadang-kala di atas kaki lima, mematuhi peraturan lalu lintas.

Menurut The Paper, akhbar dalam talian kerajaan, polis turut memanggil lapan syarikat menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan selepas 76 pemandu maut atau cedera ketika menghantar pesanan dalam tempoh enam bulan pertama 2017.

Timbalan Ketua Polis Trafik Shanghai, Wang Liang berkata, kebanyakan syarikat mempunyai pendekatan tersendiri memastikan penghantar mematuhi peraturan jalan raya namun masalah utama jika mereka mematuhi peraturan berkenaan dalam erti kata sebenar. - Reuters

Berita Harian X