Sabtu, 26 Ogos 2017 | 8:37pm
RUSUHAN di Panchkula, India. - Foto Reuters
RUSUHAN di Panchkula, India. - Foto Reuters

Sabitan rogol cetus rusuhan

PANCHKULA: Ratusan anggota tentera mengawal sebuah bandar di utara India yang dilanda rusuhan hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, kelmarin.

Ia susulan bantahan ribuan yang lain berhubung keputusan mahkamah mensabitkan seorang pemimpin agama kontroversi atas tuduhan merogol.

Tentera dihantar ke bandar Haryana, di sini selepas puluhan ribu pengikut Ram Rahim Singh mengamuk, menyerang van stesen televisyen dan membakar berpuluh kenderaan persendirian.

Pasukan keselamatan diletak dalam keadaan berjaga-jaga untuk memastikan keganasan yang meletus tengah hari semalam tidak berulang, beberapa minit selepas mahkamah khas mengumumkan Singh bersalah kerana merogol dua pengikutnya.

Ketua Polis Haryana, B S Sandhu, berkata sekurang-kurangnya 30 maut dengan angka kematian mungkin meningkat kerana sesetengah yang cedera mengalami luka serius di kepala.

"Angka yang maut sekurang-kurangnya 30 orang dan sekitar 200 cedera termasuk kira-kira 50 anggota polis dan keselamatan.

"Sesetengah yang cedera tidak pergi ke hospital kerana bimbang dikenakan tindakan polis berikutan terbabit dalam keganasan," katanya. - AFP

Berita Harian X