Rabu, 23 Ogos 2017 | 11:22pm
POLIS Arab Saudi menahan budak lelaki yang dirakam menari lagu Macarena, di persimpangan jalan di Jeddah. - Foto Twitter

Saudi tahan remaja 'gelek' lagu Macarena

RIYADH: Polis Arab Saudi menahan budak lelaki berusia 14 tahun yang dirakam menari lagu popular 1990-an, Macarena, di persimpangan jalan di Jeddah.

Klip video tarian itu dikongsi secara meluas di media sosial.

Remaja berkenaan, yang nama dan kerakyatannya tidak didedahkan, disoal siasat kerana menunjukkan 'kelakuan tidak sopan di khalayak ramai' dan mengganggu perjalanan trafik, menurut kenyataan polis Makkah.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia akan didakwa secara rasmi.

Dalam video 45 saat itu, remaja terbabit yang memakai baju T belang, seluar pendek sukan kelabu dan kasut dilihat berjalan menuju ke tengah jalan.

Remaja berkenaan mula menari lagu berkenaan di depan kereta yang berhenti ketika lampu isyarat merah.

Awal bulan ini, polis menahan dan membebaskan penyanyi Arab Saudi kerana menggunakan pergerakan 'dab' ketika menari di pentas.

Abdallah al-Shahani muncul dalam video ketika mempersembahkan tarian di pesta muzik di bandar raya Taif.

Tarian itu diharamkan di Arab Saudi oleh Jawatankuasa Kebangsaan Pengawalan Dadah, kerana ia dikatakan menggalak penyalahgunaan dadah, menurut media negara itu. - Reuters

Berita Harian X