Isnin, 7 Ogos 2017 | 9:25pm

Australia, Jepun, AS gesa kod tatacara diikat secara sah

MANILA: Australia, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menggesa negara Asia Tenggara dan China memastikan kod tatacara Laut China Selatan yang bakal dibentuk diikat secara sah mengikut undang-undang.

Mereka pada masa sama menentang sekeras-kerasnya 'tindakan paksaan sebelah pihak.'

Menteri Luar tiga negara berkenaan dalam satu kenyataan susulan mesyuarat di ibu kota Filipina di sini berkata, Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China perlu mewujudkan satu set peraturan yang 'diikat secara sah, bermakna, berkesan dan konsisten dengan undang-undang antarabangsa.'

Menteri Luar ASEAN dan China semalam menerima satu rangka kerja yang dirunding untuk kod tatacara, tindakan dianggap satu kemajuan namun dilihat pengkritik taktik membeli masa mengukuhkan kuasa maritim oleh China.

Australia, Jepun dan AS juga 'menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan paksaan unilateral yang mungkin mengubah status quo dan meningkatkan ketegangan.'

Mereka menggesa negara penuntut menahan diri daripada melakukan tambakan tanah, pembinaan pos kawalan dan tentera pulau bertelingkah, rujukan khusus lanjutan keupayaan pertahanan China di terumbu karang Mischief, Fiery Cross dan Subi di Kepulauan Spratly.

Rangka kerja kod itu adalah garis panduan apa yang digelar China dan ASEAN 'rundingan' dalam satu perjanjian rasmi, yang akan bermula akhir tahun ini. -Reuters

Berita Harian X