Selasa, 1 Ogos 2017 | 3:57pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Indonesia tumpas sindiket tipu di internet

JAKARTA: Indonesia akan mengusir 153 warga China yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam rangkaian penipuan siber bernilai jutaan dolar menyasar ahli politik dan peniaga kaya di China.

Polis Indonesia berkata, sindiket terbabit, yang mengendalikan operasi dari luar negara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa China namun tidak menyasar mana-mana mangsa di negara penganjur, mengumpul kira-kira enam trilion rupiah (AS$450 juta/RM1.93 bilion) sejak operasi bermula akhir tahun lalu.

Mereka ditahan susulan maklumat daripada pihak berkuasa China.

"Kami menjalankan satu siasatan menyeluruh dan ketika ini bekerjasama dengan polis China untuk mengusir mereka," kata jurucakap polis Indonesia Rikwanto.

Polis di ibu kota ini berkata, kumpulan itu, beroperasi di beberapa lokasi di seluruh Indonesia, menghubungi mangsa menyamar sebagai polis China atau pegawai penguatkuasa, berjanji membantu menyelesaikan kes perundangan sebagai balasan mendapatkan pindahan bayaran tunai.

Rangkaian jenayah itu termasuk pakar teknologi maklumat (IT) yang akan mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan mewujudkan sistem komunikasi hubungan dengan mereka.

Warga China terbabit ditahan di ibu kota ini, Surabaya dan pusat peranginan Bali dalam serbuan berasingan hujung minggu lalu.

"Penjenayah dan mangsa adalah warga China. Ia secara kebetulan mereka beroperasi dari Indonesia," kata jurucakap polis ibu kota ini Argo Yuwono.

Polis sedang menyiasat bagaimana beberapa suspek China terbabit berjaya masuk ke kepulauan itu tanpa pasport sah. -AFP

Berita Harian X