Selasa, 1 Ogos 2017 | 7:20am

Qatar cabar tindakan tiga negara Teluk

GENEVA: Qatar memfailkan aduan pada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) bagi mencabar pemulauan perdagangan yang dilakukan Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Pejabat WTO Qatar, Ali Alwaleed al-Thani.

Susulan tindakan itu, Qatar memberi tempoh 60 hari kepada negara terbabit untuk menjawab aduan atau berhadapan proses ligitasi di WTO dan sekatan balas perdagangan.

"Kami telah memberi masa yang secukupnya untuk tiga negara ini menjelaskan tindakan mereka, namun ia tidak berhasil.

"Kami selalu meminta mengadakan dialog, berunding. Kami mahu mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai tindakan mereka dan kesahihannya dari segi undang-undang, selain mencari penyelesaian kepada perbalahan ini," kata al-Thani.

Tiga negara berkenaan memutuskan hubungan dengan Qatar, negara pembekal gas utama dan mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat terbesar di Asia Barat, pada 5 Jun lalu.

Mereka menuduh Qatar membiaya kumpulan militan di Syria dan bersekutu dengan Iran, seteru di rantau berkenaan. Qatar menafikan tuduhan itu.

Negara terbabit sebelum ini memberitahu WTO, tindakan itu diambil atas faktor keselamatan, menggunakan pengecualian kontroversi dan hampir tidak pernah berlaku menurut peraturan WTO. - REUTERS

Berita Harian X