Isnin, 31 Julai 2017 | 11:52am

Serangan roket ragut nyawa polis

RIYADH: Seorang anggota polis terbunuh manakala enam yang lain cedera dalam serangan roket di daerah timur Qatif, kawasan majoriti pengikut Syiah, kata Kementerian Dalam Negeri.

Kenyataan yang dipetik agensi berita Saudi Press (SPA) itu berkata, serangan semalam mengorbankan seorang anggota polis peronda di kejiranan al-Masoura, Qatif.

Enam lagi anggota yang cedera dimasukkan ke hospital dan dilaporkan stabil.

Pasukan keselamatan Qatif menjadi rentetan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut kementerian, awal bulan ini, polis menembak tiga lelaki yang disyaki mahu melancarkan serangan ala pengganas.

Pergolakan di kawasan itu bermula sejak 2011, ketika pengikut Syiah mengadakan tunjuk perasaan menuntut layanan sama rata di negara dikuasai pengikut Sunnah itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyalahkan kumpulan pengganas dan pengedar dadah terhadap insiden ganas yang berlaku. - AFP

Berita Harian X