Khamis, 20 Julai 2017 | 3:43pm
Choi Seung-hyun

Penyanyi TOP Korea dihukum penjara hisap ganja

SEOUL: Bintang hip hop Korea, TOP dijatuhkan hukuman penjara tertangguh 10 bulan, atas tuduhan menghisap ganja pada tahun lalu.

Sabitan ke atas TOP atau nama sebenar Choi Seung-hyun dibuat, selepas dia dimasukkan ke hospital beberapa minggu lalu kerana mengambil dadah berlebihan.

Seung-hyun anggota kumpulan Big Bang berusia 29 tahun itu mengaku di mahkamah menghisap ganja empat kali di rumahnya di Seoul Oktober lalu.

"Sebaik Seung-hyun mengaku kepada tuduhan itu, beliau disabitkan kesalahan itu, " agensi berita Yonhap memetik kenyataan hakim.

Mahkamah berkata, jenayah berkaitan dadah memerlukan hukuman berat kerana ia memberi kesan negatif kepada keseluruhan masyarakat, tetapi penyesalan penyanyi itu berhubung tindakannya turut diambil kira.

Ketika tiba di mahkamah, Seung-hyun memberitahu wartawan beliau kesal kerana menimbulkan masalah dan memohon maaf kepada peminatnya.

Penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi dan perubatan adalah dilarang di Korea Selatan, dan menghisap bahan terlarang adalah jenayah yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda 50 juta won (RM190,927).

AFP

Berita Harian X