Sabtu, 4 Februari 2023 | 2:45pm
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto AP
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto AP

Menteri ASEAN gesa junta Myanmar laksana rancangan damai

JAKARTA: Barisan menteri Asia Tenggara menggesa junta Myanmar melaksanakan pelan damai lima perkara (5PC) yang dipersetujui dua tahun lalu bagi mewujudkan laluan ke arah menamatkan krisis politik negara itu.

Kesepakatan itu dimuktamadkan selepas mesyuarat menteri selama dua hari di Indonesia yang berakhir semalam.

Indonesia yang juga ekonomi terbesar Asia Tenggara adalah pengerusi bagi 10 anggota ASEAN untuk 2023 dan akan menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan pemimpin blok itu akhir tahun ini.

Namun, mesyuarat yang berlangsung di Jakarta itu dibayangi oleh keadaan di Myanmar yang bergolak sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata Jakarta mencadangkan pelan pelaksanaan kepada anggota ASEAN untuk konsensus lima perkara yang dipersetujui dengan junta pada April 2021.

Melalui pelan itu, ia menyeru untuk menamatkan keganasan dan dialog antara tentera dan pemberontak.

"Kita menerima sokongan yang baik daripada semua negara anggota terhadap pelan ini. Ia (pelan) penting buat ASEAN, khususnya kepada pengerusi sebagai panduan bagi menangani situasi di Myanmar secara bersama.

"Ia juga sekali gus mampu menunjukkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan anggota ASEAN untuk melaksanakan 5PC," katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun, tidak memberikan butiran mengenai bagaimana perjanjian itu boleh dilaksanakan.

Junta kekal sebagai anggota ASEAN, tetapi blok itu menghalangnya daripada menghadiri sidang kemuncak peringkat atasan kerana kegagalan melaksanakan rancangan bagi mencapai keamanan antara tentera dan gerakan anti-rampasan kuasa Myanmar.

Sementara itu, Menteri Luar Myanmar, Than Swe yang dilantik minggu ini tidak hadir pada rundingan ASEAN yang diadakan kelmarin, di mana blok itu enggan menjemput anggota junta dan hanya meminta 'wakil bukan politik'.

Menurut wakil kerajaan Indonesia, kurangnya perkembangan kemajuan oleh junta Myanmar menguji kredibiliti blok itu dan kini sedang berusaha untuk mencari penyelesaian kepada krisis berkenaan.

Jakarta sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menubuhkan pejabat utusan khas di bawah kementerian luar bagi mengadakan dialog di peringkat bawahan dengan junta. - AFP

Berita Harian X