X
Khamis, 22 September 2022 | 8:37pm
COVID-19 akan diklasifikasikan sebagai ‘penyakit berjangkit di bawah pengawasan’ daripada ‘penyakit berjangkit berbahaya semasa’ di Thailand berkuatkuasa 1 Oktober 2022. - Foto AGENSI
COVID-19 akan diklasifikasikan sebagai ‘penyakit berjangkit di bawah pengawasan’ daripada ‘penyakit berjangkit berbahaya semasa’ di Thailand berkuatkuasa 1 Oktober 2022. - Foto AGENSI

Thailand mengklasifikasikan COVID-19 sebagai endemik mulai bulan depan

BANGKOK: Thailand memutuskan untuk mengklasifikasikan pandemik COVID-19 sebagai endemik mulai bulan depan, menandakan peralihan besar dalam usaha negara itu ke arah normalisasi.

Pihak berkuasa memutuskan langkah itu selepas mengambil kira perkembangan penyakit itu di dalam dan juga di peringkat global.

COVID-19 akan diklasifikasikan sebagai 'penyakit berjangkit di bawah pengawasan' daripada 'penyakit berjangkit berbahaya semasa' berkuatkuasa 1 Oktober.

Menurut laporan Bangkok Post, keputusan peralihan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCDC) meluluskan cadangan itu, semalam.

Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata situasi global COVID-19 telah bertambah baik berdasarkan penurunan jangkitan dan kematian, dengan kadar populasi tinggi yang diberi vaksin menyumbang kepada penambahbaikan itu.

Beliau berkata, kementerian sedang mengisytiharkan peralihan di bawah undang-undang penyakit berjangkit yang telah diwartakan dan ia akan berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.

Penyenaraian COVID-19 sebagai penyakit endemik akan berlangsung hingga September 2023.

Rangka kerja pelan tindakan kementerian termasuklah pengawasan dan langkah pencegahan, komunikasi risiko serta rawatan perubatan dan langkah lain untuk mengawal penyakit itu.

Ia juga akan merangkumi aspek pengurusan sosial, perundangan dan ekonomi.

"Bagaimanapun, setiap wilayah di negara ini mesti memantau dengan teliti situasi dan menangani sebarang kemungkinan wabak mengikut pelan tindakan," katanya.

Thailand juga telah mengeluarkan COVID-19 daripada senarai penyakit larangan bagi warga asing masuk atau tinggal di Thailand.

Anutin berkata, mereka yang mempunyai COVID-19 ringan atau tanpa gejala tidak lagi perlu tinggal di rumah selama lima hari, tetapi mereka mesti mengekalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan melakukan ujian secara berkala. - AGENSI

Berita Harian X