Jumaat, 26 Ogos 2022 | 8:57pm
Kepulan asap tebal kelihatan dari feri M/V Asia Philippines Starlite, dari pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS
Kepulan asap tebal kelihatan dari feri M/V Asia Philippines Starlite, dari pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS

Feri bawa 82 penumpang terbakar di Filipina, 73 diselamatkan

MANILA: Sebuah feri di Filipina yang membawa 82 penumpang dan kru terbakar ketika ia menghampiri pelabuhan di selatan Manila hari ini, dengan sekurang-kurangnya 73 daripada mereka berjaya diselamatkan.

Pasukan pengawal pantai berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) penumpang serta kru M/V Asia Philippines Starlite, sebuah feri barangan dan penumpang antara pulau dari Calapan di Oriental Mindoro, masih diteruskan walaupun hari sudah mulai gelap.

Pasukan penyelamat membawa keluar penumpang dari feri M/V Asia Philippines Starlite, di pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS
Pasukan penyelamat membawa keluar penumpang dari feri M/V Asia Philippines Starlite, di pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS

Seorang wanita berusia 44 tahun adalah antara yang diselamatkan dan dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Sebuah video diedarkan pengawal pantai menunjukkan api menjulang dan kepulan asap tebal dari feri berkenaan, yang berada berdekatan beberapa kapal lain, kira-kira lebih satu kilometer dari kawasan berlabuh di luar pesisir pelabuhan Batangas.

Sebuah kapal turut membantu dua kapal pengawal pantai dalam usaha SAR. Punca kebakaran belum diketahui setakat ini.

Feri berkenaan boleh membawa sehingga 400 penumpang dan menurut pengawal pantai, sebelum ini ada kes di mana feri membawa penumpang yang tidak didaftarkan, sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan.

Antara penumpang feri M/V Asia Philippines Starlite yang terselamat dan d bawa ke pelabuhan berdekatan pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS
Antara penumpang feri M/V Asia Philippines Starlite yang terselamat dan d bawa ke pelabuhan berdekatan pelabuhan Batangas di Filipina. - Foto REUTERS

Kemalangan di laut adalah perkara biasa di Filipina kerana kerap dilanda ribut, bot tidak diselenggara dengan baik, membawa penumpang berlebihan dan penguatkuasaan lemah pematuhan peraturan terutama di wilayah terpencil.

Pada Disember 1987, feri Dona Paz karam selepas berlanggar dengan kapal tangki minyak, mengorbankan 4,300 mangsa, tragedi maritim terbesar dunia di luar waktu perang. - AP

Berita Harian X