Jumaat, 5 Ogos 2022 | 1:31pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

ASEAN tiada rancangan terdekat runding dengan Myanmar

PHNOM PENH: Negara ASEAN kecewa dengan kurangnya kemajuan ditunjukkan Myanmar bagi menamatkan keganasan dan ketidakstabilan serta melaksanakan pelan damai yang dipersetujui.

Sehubungan itu, mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh semalam memutuskan untuk mengehadkan pembabitan lanjut bersama penguasa tentera negara itu jika perkara sama berterusan.

Semasa mesyuarat itu, mereka mengulangi kepentingan terus melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang dilakarkan April tahun lalu bagi menamatkan keganasan dan ketidakstabilan di Myanmar menyusuli rampasan kuasa tentera pada Februari tahun lalu.

Tanpa sebarang kemajuan, pembabitan lanjut bersama junta tentera Myanmar akan terhad dan ASEAN akan meneroka cara lain untuk mendekati semua pihak berkepentingan.

Pada April tahun lalu, pemimpin rampasan kuasa, Jeneral Min Aung Hlaing, bersetuju kepada lima perkara bagi memecah kebuntuan kemelut politik di negara itu.

Ia termasuk pengakhiran segera keganasan, dialog antara semua pihak, pelantikan seorang utusan khas ASEAN sebagai pengantara, bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak.

ASEAN telah mengambil pendirian konsisten terhadap Myanmar menyusuli rampasan kuasa berkenaan.

Menteri hal ehwal luar yang dilantik Majlis Pentadbiran Negara Myanmar tidak diundang ke Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) tahun ini.

Ia sejajar dengan pandangan ASEAN bahawa Myanmar boleh diwakili hanya oleh wakil bukan politik sehingga terdapat kemajuan dalam melaksanakan konsensus berkenaan.

Blok terbabit sebelum ini mengutuk pelaksanaan hukuman mati ke atas empat aktivis oleh tentera Myanmar, yang mengumumkan pada 25 Julai lalu bahawa ia sudah menghukum mati empat lelaki yang dituduh bersekongkol membantu pengganas.

Hukuman mati aktivis itu turut menjadi rintangan serius dalam usaha ASEAN untuk mencari jalan penyelesaian yang aman untuk perdamaian nasional di Myanmar.

Tambahan pula, tindakan regim junta tentera tidak menghormati usaha pengerusi ASEAN dari Kemboja merangkap Utusan Khas ASEAN bagi Myanmar, Prak Sokhonn, turut memburukkan keadaan.

Kelmarin, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, berkata kumpulan itu akan terpaksa memikirkan kembali rancangan perdamaian yang selaraskan bersama Myanmar sekiranya pemerintah tentera negara itu menghukum mati lebih banyak tahanannya.

Beliau juga menyatakan bahawa blok itu menghabiskan banyak masa dan tenaga ke atas Myanmar, selain mengharungi kesukaran serta kritikan demi membantu negara itu dan rakyatnya mencari rumusan politik. - AGENSI

Berita Harian X