Isnin, 25 Julai 2022 | 9:35pm
Kapsul Molnupiravir. - Foto EPA
Kapsul Molnupiravir. - Foto EPA

Thailand beli 5 juta kapsul antiviral COVID-19 Molnupiravir

BANGKOK: Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) Thailand mengumumkan menerima dua juta kapsul antiviral COVID-19, Molnupiravir, pada 12 Julai lalu dan menantikan penghantaran tiga juta kapsul lagi, bulan ini.

Timbalan Pengarah Urusannya, Dr Sirikul Matevelungsun, berkata GPO ditugaskan kerajaan untuk mendapatkan lima juta kapsul Molnupiravir 200 miligram (mg) daripada pengeluar.

Harganya pula ditetapkan pada kadar maksimum 1,000 baht bagi setiap tempoh rawatan yang memerlukan 40 kapsul, di bawah perjanjian yang dibuat pertubuhan itu dengan pengeluar di India dan beberapa negara lain.

"Ubat ini akan dihantar ke pusat operasi kecemasan kesihatan awam di seluruh Thailand setiap hari, termasuk cuti umum, bagi memastikan semua unit tempatan mempunyai ubat mencukupi untuk merawat pesakit COVID-19," katanya.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand minggu lalu mengumumkan klinik swasta beroperasi di bawah Akta Kemudahan Kesihatan 1998 boleh memesan dan menjual ubat antivirus COVID-19 diluluskan FDA seperti Favipiravir, Remdesivir, Molnupiravir dan Paxlovid.

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Dr Kiattiphum Wongrajit, baru-baru ini berkata kementerian bercadang menjadikan ubat dan rawatan COVID-19 lebih mudah didapati memandangkan langkah sedang diambil untuk mengisytiharkan penyakit itu sebagai endemik.

Ketika ini, katanya, bukan semua pesakit COVID-19 memerlukan ubat antivirus kerana pesakit tidak bergejala atau bergejala ringan boleh mengambil pil 'fah talai jone' (Andrographis paniculata) atau ekstrak hempedu bumi sehingga mereka sembuh. - AGENSI

Berita Harian X