Isnin, 18 Julai 2022 | 8:44pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Gejala 'Long Covid' berterusan lama selepas jangkitan COVID-19

JAKARTA: Kira-kira 66 peratus bekas pesakit COVID-19 yang terselamat di Indonesia mengalami simptom berterusan atau 'Long Covid' berbanding anggaran kadar kelaziman global sebanyak 43 peratus.

Kajian itu membabitkan 385 responden, dijalankan pada Januari tahun lalu dan diterbitkan dalam jurnal penyakit berjangkit, GERMS, yang oleh kumpulan pakar berkaitan penyakit itu.

Ia dilakukan Januari tahun lali, sejurus selepas negara mengalami gelombang pertama jangkitan COVID-19 yang didorong oleh penyebaran varian Alpha.

Gejala paling biasa dilaporkan oleh mangsa yang terselamat, menurut penyelidikan, adalah keletihan yang berpanjangan (29 peratus, batuk (15 peratus) dan sakit otot (11 peratus).

Sesetengah pesakit juga mengalami sesak nafas, sakit kepala, sakit sendi, jantung berdebar-debar, gangguan tidur dan hilang tumpuan.

Gejala-gejala ini berlarutan sehingga tiga bulan selepas pesakit diuji negatif untuk virus itu, yang dilihat menjejaskan kualiti hidup mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada pesakit Long Covid dilaporkan mengalami kebimbangan atau kemurungan dan sekitar satu perempat mengalami kesakitan dan ketidakselesaan.

Kajian itu mendapati bahawa risiko Long Covid adalah jauh lebih besar pada pesakit dengan masalah kesihatan yang sedia ada dan mereka mengalami gejala lebih teruk terutama radang paru-paru.

Usia tua, status pemakanan, jenis penjagaan dan keperluan untuk terapi oksigen juga dikaitkan dengan risiko lebih besar simptom COVID-19 yang berterusan.

Menurut kajian di Amerika Syarikat (AS), bagi mereka yang tidak mempunyai komorbiditi atau pesakit yang hanya mengalami simptom COVID-19 ringan, risiko mendapat Long Covid meningkat setiap kali mereka dijangkiti COVID-19.

Kajian diterbitkan awal bulan ini yang masih menunggu semakan pakar, mendedahkan bahawa setiap pusingan jangkitan semula COVID-19 meningkatkan risiko pesakit mengalami gejala yang lebih teruk dan Long Covid, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Penyelidikan itu menganalisis data daripada 257,427 peserta di AS yang dijangkiti COVID-19 hanya sekali dan 38,926 peserta dengan dua atau lebih jangkitan semula SARS-CoV-2.

Ia mencadangkan supaya mereka yang dijangkiti semula mempunyai risiko kematian lebih tinggi, kemasukan ke hospital dan masalah kesihatan yang buruk, dengan gejala berlarutan sehingga enam bulan selepas bebas daripada jangkitan itu.

Ketua penyelidik, Ziyad Al-Aly, berkata jangkitan pertama mungkin melemahkan beberapa sistem organ dan menjadikan orang lebih terdedah kepada risiko kesihatan apabila mereka mendapat jangkitan kedua atau ketiga. - AGENSI

Berita Harian X