Selasa, 5 Julai 2022 | 5:27pm
Foto hiasan. - Foto MediaCorp
Foto hiasan. - Foto MediaCorp

MUIS dapatkan pandangan JAKIM, Majlis Tertinggi Islam Australia

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pengesahan Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA) sebelum memutuskan untuk menghentikan penggunaan dan import produk daging daripada pusat penyembelihan Thomas Foods International Lobethal (TFIL),

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, berkata ini kerana JAKIM juga menjalankan siasatannya sendiri ke atas TFIL menerusi wakil yang dilantik di Canberra, sementara SICHMA memperakui kelemahan pada protokol penyembelihan di pusat penyembelihan seperti dilaporkan di media pada 28 Mei lalu.

Masagos berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang diajukan Muhamad Faisal Abdul Manap di Parlimen berhubung dapatan dan proses siasatan ke atas TFIL.

"Apabila ia menjadi jelas bahawa integriti halal di TFIL di kompromi, MUIS mengarahkan syarikat dengan pensijilan halal supaya menghentikan penggunaan produk daging dari TFIL dengan serta-merta pada 30 Mei lalu.

"MUIS terus memantau import produk daging halal ke Singapura," kata Masagos.

Walaupun Jabatan Pertanian, Air Sekitaran Australia (DAWE) memberi maklum balas kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 16 Mei lalu, bahawa operasi TFIL sejajar dengan peraturan dan piawaian keselamatan makanan Australia, sekali gus selaras dengan tuntutan keselamatan makanan Singapura.

"MUIS memastikan produk disahkan halal yang digunakan oleh pemegang sijil halal mengamalkan piawaian halal yang sama atau boleh dibandingkan dengan Piawaian Halal MUIS Singapura (SMHS) melalui skim pengiktirafan Badan-Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB)," katanya.

Berita Harian X