Isnin, 27 Jun 2022 | 7:41pm
Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan junta tentera, Aung San Suu Kyi. - Foto REUTERS
Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan junta tentera, Aung San Suu Kyi. - Foto REUTERS

Wakil khas ASEAN gesa junta bebaskan Suu Kyi

PHNOM PENH: Seorang wakil khas ASEAN bagi krisis di Myanmar meminta supaya pemerintah tentera membebaskan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, dari penjara sebelum lawatan akhir minggu ini.

Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, akan membuat lawatan kedua ke Myanmar mulai Rabu ini sebagai sebahagian daripada komitmen keamanan junta tentera dengan negara anggota ASEAN yang lain.

Suu Kyi, 77, yang dituduh melakukan sekurang-kurangnya 20 jenayah sejak rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih tahun lalu, kini dipindahkan ke penjara di ibu negara Naypyitaw dan ditahan dalam kurungan bersendirian.

Prak Sokhonn, dalam surat kepada junta, berkata Suu Kyi dihormati pada peringkat antarabangsa dan penduduk Myanmar sendiri kerana berperanan besar dalam pemulihan negara dan perdamaian nasional melalui penyelesaian politik yang aman.

Dalam suratnya, beliau menegaskan proses damai yang berjaya adalah mustahil dengan satu pihak dikecualikan.

"Penyelesaian politik yang aman untuk konflik, tidak kira betapa rumit, mesti mencakupi perkongsian ruang politik oleh semua yang terbabit," katanya.

Sebelum ini, aktivis mengecam lawatan terakhir Prak Sokhonn pada Mac lalu sebagai gagal kerana didakwa memihak kepada junta. - REUTERS

Berita Harian X