Isnin, 27 Jun 2022 | 6:06pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Hidangan nasi dan lauk untuk RM3.10 di Thailand

BANGKOK: Kedai terpilih di serata ibu negara Thailand hari ini mula menawarkan hidangan nasi dan kari pada harga 25 baht (RM3.10), sebagai langkah mengurangkan beban sara hidup seharian penduduk Bangkok.

Semalam, Persatuan Restoran Thailand (TRA), berkata projek yang mereka ilhamkan itu bertujuan khusus bagi membantu orang ramai yang terkesan akibat krisis makanan global yang menyebabkan harga barangan termasuk makanan, melambung tinggi.

Presiden TRA, Thaniwan Kulmongkol, berkata projek perintis itu dimulakan di stesen minyak PT di serata Bangkok dan kawasan berdekatan, dengan kerjasama beberapa rakan kongsi lain.

Katanya, pihak TRA juga mengeluarkan garis panduan kepada restoran mengenai bagaimana mereka boleh menjimatkan penggunaan gas pertoleum cecair (LPG).

"Ini secara tidak langsung mengurangkan kesan akibat kenaikan harga bahan api dan krisis makanan global.

"Garis panduan yang bersesuaian bagi membantu pengusaha restoran kecil akan dipertimbangkan, bagi membolehkan semua pihak dapat berkongsi bagi meringankan beban akibat kesan ekonomi ini," katanya.

Sebelum ini, TRA menggesa ahlinya jangan menaikkan harga makanan antara enam baht (75 sen) hingga lapan baht (RM1) berdasarkan kenaikan harga bahan mentah bagi setiap lauk dan bukannya menaikkan harga antara 10 baht (RM1.25) hingga 20 baht (RM2.50) secara umum.

Thaniwan berkata, walaupun kenaikan itu dianggap kecil, ia masih menjadi beban besar kepada pelanggan dalam keadaan ekonomi sekarang.

Beliau juga mengesyorkan pengusaha mengurangkan kos dengan menggunakan bahan mentah yang lebih murah, umpamanya telur bersaiz lebih kecil, selain menyediakan menu khas berharga rendah bagi golongan kurang berkemampuan.

TRA juga bekerjasama dengan syarikat pembekal bagi memastikan sekitar 30,000 anggotanya dapat membeli bahan mentah pada harga semurah mungkin.

Thaniwan juga menasihatkan pengusaha restoran supaya memastikan kos bahan mentah mereka termasuk daging, sayuran, dan minyak masak tidak melebihi 30 peratus daripada kos operasi.

Beliau turut mencadangkan peranan orang tengah dikurangkan sebanyak mungkin, sekali gus memastikan harga tidak berlipat ganda terlalu tinggi menerusi kawalan Jabatan Perdagangan Dalam Negeri.

Katanya lagi, kerajaan harus membimbing sekitar 200,000 pengusaha gerai makanan yang berniaga di jalanan atau rumah kedai, untuk menyelaraskan kenaikan harga secara beransur-ansur tanpa mengejutkan pelanggan.

Kabinet pada Selasa lalu meluluskan kenaikan beransur-ansur harga LPG daripada 363 baht (RM45.30) bagi setiap silinder 15 kilogram (KG) kepada 408 baht (RM51).

Kenaikan harga akan dilakukan secara berperingkat sebanyak tiga kali antara 1 Julai ini hingga 30 September ini. - AGENSI

Berita Harian X