Rabu, 22 Jun 2022 | 4:03pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Pelakon asing jalani penggambaran di Thailand dikecualikan cukai

BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan pengecualian cukai pendapatan peribadi selama lima tahun untuk pelakon asing yang menjalani penggambaran di negara itu, dalam usahanya untuk mempromosikan Thailand sebagai destinasi penggambaran filem.

Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata mesyuarat Kabinet pada Selasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meluluskan pengecualian cukai itu.

Beliau berkata Thailand mengumpul purata 3.5 bilion baht setiap tahun daripada kru asing yang menjalani penggambaran di negara ini antara 2017 dan 2021.

"Thailand akan kerugian kira-kira 71.75 juta baht berikutan pengecualian cukai untuk bintang filem asing," katanya.

Pada masa ini, Rachada berkata Thailand menawarkan beberapa insentif kewangan untuk mempromosikan penggambaran filem asing dengan setiap syarikat produksi akan menerima rebat tunai sebanyak 15 hingga 25 peratus daripada perbelanjaan ditanggung di Thailand, yang dihadkan pada 75 juta baht.

Katanya, sebelum ini pelakon asing dikehendaki membayar cukai pendapatan peribadi daripada pendapatan mereka di Thailand, selain cukai yang perlu dibayar di negara asal.

Cukai dua kali itu mungkin menghalang mereka daripada menjalani penggambaran di Thailand, katanya. – BERNAMA

Berita Harian X