Selasa, 21 Jun 2022 | 10:58am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

80,000 warga emas belum ambil suntikan penggalak COVID-19

SINGAPURA: Kira-kira 80,000 warga emas berumur 60 tahun ke atas belum mengambil suntikan penggalak COVID-19, ketika republik itu menjangkakan kemunculan gelombang baru jangkitan varian Omicroni.

Justeru, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, menerusi pentas media sosial TikTok, menggesa golongan berkenaan segera mengambil penggalak.

Tambah beliau, Singapura menjangkakan gelombang jangkitan coronavirus seterusnya dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

"Kemungkinan warga emas yang mengambil suntikan penggalak vaksin dijangkiti COVID-19 menghadapi sakit teruk akibat penyakit itu atau meninggal dunia adalah tiga kali lebih kecil berbanding mereka dalam kohort sama yang hanya mengambil dua suntikan.

"Warga emas dengan menerima tiga suntikan mempunyai peluang tiga dalam 1,000 untuk hasil negatif ini, manakala mereka yang mengambil dua suntikan mempunyai peluang 10 dalam 1,000 untuk perkara ini berlaku.

"Mereka yang kekal tidak divaksin pula berada pada risiko tertinggi, dengan 40 dalam 1,000 kemungkinan kematian atau penyakit kritikal yang memerlukan rawatan rapi," katanya.

Pihak berkuasa sudah beberapa kali memberi amaran mengenai kemungkinan wabak lain yang akan muncul, memandangkan antibodi COVID-19 dalam individu mula berkurangan.

Kata Ye Kung, apabila vaksin COVID-19 mula-mula dikembangkan, ia direka untuk menentang virus 'jenis liar'.

Kini, selepas coronavirus berkembang menjadi strain Delta dan Omicron, tiga dos vaksin diperlukan untuk perlindungan yang berkesan iaitu siri utama dan suntikan penggalak.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 kini sedang mengkaji keberkesanan dan keselamatan dua jenis vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak kecil.

MOH dalam satu kenyataan, berkata pihaknya dan jawatankuasa itu sedang mengkaji sama ada vaksin Moderna berkesan dan selamat bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun.

Bagi vaksin Pfizer-BioNTech pula, mereka sedang mengkaji keberkesanan dan keselamatannya bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.

"Kami berhubungan dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan untuk mendapatkan maklumat berkaitan bagi mempermudahkan penilaian risiko-manfaat penggunaan vaksin dalam kumpulan usia ini," katanya.

Kenyataan MOH itu menyusuli laporan bahawa pegawai rasmi kesihatan Amerika Syarikat (AS) sudah meluluskan vaksin COVID-19 bagi bayi dan kanak-kanak kecil – kumpulan usia terakhir yang belum layak bagi vaksinasi.

Jawatanukasa Penasihat mengenai Amalan Imunisasi Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS mengundi 12-0 pada Sabtu lalu untuk menyarankan vaksin Pfizer tiga dos untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.

Mereka juga mengundi 12-0 untuk menyarankan vaksin Moderna dua dos bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun. - AGENSI

Berita Harian X