Isnin, 13 Jun 2022 | 3:37pm
Peniaga mempamerkan pelbagai varian ganja untuk dijual pada pesta hujung minggu, Thailand 420: Legalaew!, di Nakhon Pathom bagi meraikan tindakan kerajaan Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya. - Foto AFP
Peniaga mempamerkan pelbagai varian ganja untuk dijual pada pesta hujung minggu, Thailand 420: Legalaew!, di Nakhon Pathom bagi meraikan tindakan kerajaan Thailand mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya. - Foto AFP

Petani Thailand guna kanabis ganti antibiotik bagi ternakan ayam

BANGKOK: Masyarakat petani di Lampang dekat utara Thailand memberi kanabis menggantikan antibiotik kepada ternakan ayam mereka selain mendakwa ia meningkatkan kualiti daging serta telur.

Presiden syarikat komuniti Peth Lanna itu, Sirin Chaemthet, berkata ujian itu dijalankan dengan kerjasama Fakulti Pertanian Universiti Chiang Mai.

Katanya, golongan petani memilih ganja sebagai makanan gantian ternakan selepas mendapati anak ayam masih dijangkiti 'avian bronchitis' biarpun disuntik dengan antibiotik.

Selepas mengambil kanabis, imuniti ternakan terhadap penyakit dan daya tahan cuaca buruk turut meningkat.

Justeru, kata beliau, golongan petani memutuskan untuk terus memberi makan kanabis kepada ternakan mereka berbanding bergantung kepada antibiotik.

Menurut Sirin, syarikatnya menjual daging ayam dan telur masing-masing pada harga 100 baht (RM12.80) sekilogram dan enam bath (77 sen) sebiji menerusi laman sesawangnya.

Katanya, nasi ayam yang dibuat daripada daging ayam terbabit menerima maklum balas yang baik, mendorong pihaknya merancang untuk menjual ayam panggang selepas ini.

Produk itu, tambah beliau, memenuhi permintaan pengguna menginginkan makanan organik yang sihat.

Sementara itu, Presiden Majlis Petani Kebangsaan, Prapat Panyachatrak, memberi amaran bahawa penggunaan antibiotik dalam daging ayam boleh mengancam kesihatan pengguna seperti menyebabkan kadar imuniti berkurangan serta alahan.

Beliau berkata, selain memastikan keselamatan pengguna, ternakan yang diberi makan kanabis membantu merancakkan nilai komersial produk ayam. - AGENSI

Berita Harian X