Ahad, 12 Jun 2022 | 5:02pm
Menteri Pertahanan Fiji, Inia Seruiratu. - Foto REUTERS
Menteri Pertahanan Fiji, Inia Seruiratu. - Foto REUTERS

Perubahan iklim ancaman terbesar Asia, bukan konflik

Jet pejuang, senjata, kapal perang, bukan kebimbangan utama Fiji

SINGAPURA: Menteri Pertahanan Fiji, Inia Seruiratu, berkata perubahan iklim memberi ancaman besar kepada keselamatan wilayah Asia Pasifik.

Kepulauan Pasifik termasuk Fiji, Tonga dan Samoa antara negara yang terkesan akibat cuaca ekstrim disebabkan perubahan iklim.

Fiji beberapa kali dilanda ribut tropika kebelakangan ini, mengakibatkan kemusnahan kediaman dan banjir yang memberi kesan kepada ekonomi negara berkenaan.

"Di wilayah Pasifik, jet pejuang, senjata, kapal perang, bukan kebimbangan utama kami.

"Ancaman terbesar yang kami hadapi adalah perubahan iklim. Ia mengancam harapan dan impian kami untuk maju," katanya pada mesyuarat tertinggi pertahanan Dialog Shangri-La.

Mesyuarat yang berakhir hari ini, didominasi dengan perdebatan berhubung pencerobohan Russia ke atas Ukraine serta ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dari isu membabitkan kedaulatan Taiwan kepada pangkalan laut di Pasifik.

Kepulauan Pasifik menjadi fokus ketegangan tahun ini apabila Beijing menandatangani perjanjian keselamatan dengan Kepulauan Solomon April lalu, sekali gus mewujudkan kebimbangan AS, Australia dan New Zealand berhubung kehadiran tentera China di Pasifik.

Beijing pula menegaskan negara itu tidak berhasrat menubuhkan pangkalan tentera di Kepulauan Solomon, sebaliknya mahu memperkasakan usaha sama keselamatan dengan negara Pasifik itu.

Menteri Luar China, Wang Yi, melakukan lawatan ke kepulauan Pasifik bulan lalu dengan harapan untuk mendapatkan pakatan perdagangan dan keselamatan serantau, namun gagal mencapai konsensus dengan negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Seruiratu berkata, negaranya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.

"Di Fiji, kami tidak diancam dengan persaingan geopolitik.

"Kami perlu menyesuaikan cara kami bekerja dan dengan siapa kami bekerja untuk mencapai kestabilan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X