Khamis, 9 Jun 2022 | 8:29am
Thailand akan upah banduan untuk membersihkan pembetung di Bangkok mulai 1 Julai. - Foto File Bangkok Post
Thailand akan upah banduan untuk membersihkan pembetung di Bangkok mulai 1 Julai. - Foto File Bangkok Post

Thailand upah banduan bersihkan pembetung

BANGKOK: Kira-kira 1,000 banduan akan diupah untuk membersihkan pembetung di Bangkok mulai 1 Julai dalam usaha mengatasi masalah banjir di kawasan rendah di bandar raya itu ketika musim hujan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara (DoC), Aryut Sinthopphan, berkata hanya banduan dari 10 penjara dan mempunyai rekod baik akan diambil bekerja.

Beliau berkata, tiada paksaan dan banduan yang berminat boleh memohon.

"Semasa bekerja, banduan tidak dibenarkan berjalan di kawasan awam dan tidak dibenarkan bertemu ahli keluarga dan saudara-mara.

"DoC akan menyediakan makanan kepada banduan. Upah akan diberikan apabila mereka menamatkan hukuman dan dibebaskan dari penjara," katanya.

Sebelum ini, bekas gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang, menghentikan program itu selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

Media tempatan melaporkan Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, bertemu Aryut Selasa lalu untuk berbincang bagi menyambung semula program itu.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) merancang untuk membersihkan saluran pembetung sepanjang 6,000 kilometer (km) dengan peruntukan 15 juta baht (RM1.9 juta).

Sebagai permulaan, pembentung sepanjang 500km dijangka dibersihkan dalam tempoh empat bulan pertama.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Somsak Thepsuthin, berkata DoC bersedia menghantar banduan untuk membersihkan pembetung.

"Seramai 1,000 banduan dijangka membersihkan kira-kira 25km pembetung dalam sehari," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X