Rabu, 1 Jun 2022 | 7:38pm
Logo Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) - Foto AGENSI
Logo Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) - Foto AGENSI

Muis arah henti import daging halal dari loji penyembelihan Australia

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Islam Singapura (Muis) mengarahkan pemilik sijil halal setempat supaya tidak menggunakan dan mengimport produk daging dari loji penyembelihan Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL), dengan serta-merta.

Ini kerana ia mempunyai alasan kukuh untuk merumuskan bahawa loji penyembelihan itu melanggar prosedur penyembelihan halal, kata Muis dalam satu kenyataan semalam.

Muis menjelaskan, keputusan itu diambil berikutan siasatan yang dijalankan dengan beberapa pihak terbabit.

Bulan lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggantung kelulusan loji penyembelihan TFIL sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperoleh.

Muis, dalam kenyataannya, berkata selepas siasatan dijalankan dengan pelbagai pihak yang terbabit, mengarahkan pemilik sijil halal supaya dengan serta-merta, menghentikan penggunaan dan import produk daging dari loji penyembelihan luar negara, TFIL.

"Ini kerana ia mempunyai alasan kukuh untuk merumuskan bahawa integriti daging halal di loji itu terjejas.

"Dapatan kami adalah berdasarkan fakta dan maklumat daripada pihak berkuasa yang cekap," katanya.

Menurut kenyataan Muis lagi, ia juga sedang berhubungan dengan pemegang sijil yang mengimport daging dari TFIL supaya mendapatkan bekalan halal alternatif.

Menjawab pertanyaan Berita Harian Singapura, Muis berkata import dari TFIL menyumbang kepada hanya sebahagian daripada keseluruhan daging halal dari Australia.

Secara keseluruhan, bekalan daging halal kepada perniagaan yang diiktiraf halal oleh Muis tidak terjejas teruk.

Muis berkata setiap loji penyembelihan mempunyai nombor loji yang unik dan dalam hal ini, produk daging TFIL mempunyai nombor loji AU866.

"Apabila membeli produk daging dari pasar raya, pengguna Muslim boleh mengelak daripada membeli barangan daging yang datang dari loji AU866 (yang tertera di produk daging)," jelas Muis.

Bulan lalu, Muis mengatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mendapatkan maklumat berkaitan daripada Jabatan Pertanian, Air dan Sekitaran (DAWE) Australia.

Siasatan Muis dijalankan selepas Muis dan JAKIM menggantung kelulusan loji penyembelihan di Australia itu.

Menurut kenyataan Muis, loji penyembelihan TFIL diiktiraf SFA untuk mengeksport daging ke Singapura dan berdasarkan pemeriksaan SFA, import yang dilakukan ke sini mematuhi keperluan keselamatan makanan.

Ia menambah bahawa daging yang disembelih dan/atau diproses di loji penyembelihan tersebut diberi pensijilan halal oleh SICHMA, yang disenaraikan sebagai salah satu Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) di bawah rangka kerja yang diiktiraf sebelum ini.

Badan itu telah membuat permohonan baru bagi pengiktirafan di bawah rangka kerja FHCB Muis yang dipertingkat dan diperkenalkan baru-baru ini dan Muis sedang menimbangkan permohonan itu.

Jika hasil siasatan menunjukkan terdapat salah laku oleh SICHMA, Muis mungkin mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui permohonan SICHMA bagi pengiktirafan FHCB-nya. - AGENSI

Berita Harian X