Selasa, 31 Mei 2022 | 10:19pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Letupan bom di Yangon, seorang terbunuh 9 cedera

YANGON: Satu letupan bom menyebabkan seorang terbunuh dan mencederakan sembilan yang lain di tengah pusat bandar Yangon hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber polis Myanmar, yang turut memberitahu letupan berlaku kira-kira 3.20 petang waktu tempatan berhampiran stesen bas.

"Seorang lelaki meninggal dunia di hospital manakala sembilan lagi cedera," katanya.

Pasukan skuad bom sedang bekerja bagi memastikan sama ada letupan itu datang daripada bom tangan atau periuk api.

Gambar yang diterbitkan oleh media tempatan menunjukkan beberapa mayat terbaring di tengah kesibukan dan darah berlumuran di atas jalan.

Pihak keselamatan kemudian menemui bom tangan yang tidak meletup berhampiran tapak kejadian.

Paramedik sukarelawan tempatan yang tiba di tempat kejadian sejurus selepas letupan berkata pasukannya membawa dua orang yang cedera parah ke hospital.

Setakat ini, masih belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.

Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak rampasan kuasa tahun lalu.

'Pasukan Pertahanan Rakyat' yang terdiri daripada orang awam muncul untuk memerangi junta, dengan penentang turut menyasarkan pegawai atau pertubuhan yang dilihat bekerja dengan tentera. - AFP

Berita Harian X