Sabtu, 28 Mei 2022 | 6:42pm
Pasukan penyelamat berada di laut mencari mangsa yang terselamat. - Foto AGENSI
Pasukan penyelamat berada di laut mencari mangsa yang terselamat. - Foto AGENSI

26 orang hilang selepas feri karam di Indonesia

JAKARTA: Dua puluh enam orang dilaporkan hilang hari ini selepas sebuah feri kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk di luar pantai Indonesia, kata pegawai.

Agensi mencari dan menyelamat negara itu berkata, kapal itu membawa 43 orang ketika ia terbalik Khamis lalu di Selat Makassar, laut yang memisahkan pulau Sulawesi dan Borneo.

Berita mengenai kemalangan itu hanya sampai kepada pegawai hari ini, ketua mencari dan menyelamat tempatan Djuanidi, memberitahu AFP.

"Tujuh belas orang telah diselamatkan hidup-hidup oleh dua bot tunda yang sedang melaluinya. Kami telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari mangsa yang hilang," katanya.

Sekumpulan 40 penyelamat berada di laut mencari mangsa yang terselamat, tambah Djuanidi.

Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau di mana piawaian keselamatan sering longgar.

Minggu lalu sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari sebelum berjaya dibebaskan.

Tiada siapa yang cedera.

Pada 2018 lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik paling dalam di dunia di pulau Sumatera. - AFP

Berita Harian X