Isnin, 23 Mei 2022 | 3:50pm
Lori dengan tandan buah segar kelapa sawit beratur untuk memunggah di sebuah kilang di Aceh Barat, Indonesia. - Foto REUTERS
Lori dengan tandan buah segar kelapa sawit beratur untuk memunggah di sebuah kilang di Aceh Barat, Indonesia. - Foto REUTERS

Indonesia sambung semula eksport minyak sawit hari ini

JAKARTA: Indonesia dijangka menyambung semula eksport minyak sawit hari ini, selepas menguatkuasakan larangan eksport ke atas bahan itu itu selama lebih tiga minggu.

Bagaimanapun, ahli perniagaan dan syarikat industri itu sedang menunggu perincian mengenai peraturan yang disertakan untuk memastikan bekalan tempatan minyak makan itu mencukupi bagi mengawal harga minyak masak.

Negara Asia Tenggara yang menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu, menghentikan eksport minyak sawit bermula 28 April lalu, dalam usaha menurunkan harga minyak masak tempatan yang melambung tinggi.

Tindakan itu memberi kesan besar kepada pasaran minyak makan global, yang bergelut dengan masalah kekurangan bekalan minyak bunga matahari akibat perang di Ukraine.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan penarikan semula larangan eksport minyak sawit mentah dan beberapa produk derivatif minggu lalu, dengan menzahirkan keyakinan harga minyak masak pukal menuju ke paras sasaran 14,000 rupiah (RM4.16) seliter, walaupun harganya lebih tinggi di beberapa kawasan ketika ini.

Minyak sawit digunakan dalam semua produk, daripada marjerin hingga syampu, merangkumi satu pertiga daripada pasaran minyak sayuran dunia, dengan Indonesia menyumbang kira-kira 60 peratus daripada bekalan.

Bagi memastikan keselamatan bekalan, Indonesia memaklumkan, ia akan melaksanakan dasar Obligasi Pasaran Dalam Negeri (DMO), yang mana pengeluar perlu menjual sebahagian daripada produk mereka di peringkat tempatan pada paras harga tertentu.

Ketua Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto, berkata Indonesia merancang mengekalkan 10 juta tan bekalan minyak masak dalam negara, di bawah peraturan DMO dan pelaksanaannya akan dikawal Kementerian Perdagangan.

Sehingga Jumaat lalu, data Kementerian Perdagangan menunjukkan, harga purata minyak masak pukal adalah pada 17,000 rupiah (RM5.08) seliter. - AGENSI

Berita Harian X