Selasa, 17 Mei 2022 | 9:30am
Foto hiasan
Foto hiasan

MUIS, SFA turut siasat pusat sembelihan Australia

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bekerjasama dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi mendapatkan kesahihan maklumat mengenai sebuah pusat penyembelihan di Australia yang mengeskport daging ke negara ini.

Tindakan tersebut dibuat menyusuli satu kenyataan media bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negara itu pada Sabtu lalu, berhubung penggantungan serta-merta kelulusan loji sembelihan kendalian Thomas Foods International Lobethal sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Siasatan dijalankan ke atas loji sembelihan tersebut ekoran dakwaan berlaku pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal.

"Kami sedia maklum bahawa loji sembelihan berkenaan, Thomas Foods International Lobethal, diiktiraf oleh SFA untuk mengeksport daging ke Singapura," menurut MUIS dalam Facebook.

"Berdasarkan pemeriksaan SFA, import daripada perniagaan itu memenuhi syarat-syarat keselamatan makanan. Penyembelihan dan/atau daging diproses di loji sembelihan itu disahkan halal oleh Majlis Tertinggi Islam bagi Daging Halal di Australia Inc (SICHMA)."

Menurut MUIS, SICHMA disenaraikan sebagai antara Badan Pengiktirafan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktraf MUIS di bawah rangka kerja pengiktirafan sebelum ini. Majlis itu sudahpun menyerahkan satu permohonan baru bagi pengiktirafan di bawah rangka kerja FHCB MUIS yang dipertingkat, yang diperkenalkan baru-baru ini.

Permohonan SICHMA untuk memperbaharui pengiktirafannya selaku FHCB masih dalam proses pertimbangan MUIS.

MUIS kini sedang menantikan maklumat relevan mengenai loji sembelih tersebut dari Jabatan Pertanian, Air dan Sekitaran Australia.

Jika hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan serius di pihak SICHMA, MUIS mungkin memutuskan untuk tidak memperbaharui permohonan SICHMA untuk diiktiraf sebagai FHCB.

"MUIS ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia komited sepenuhnya untuk memastikan syarat-syarat serta syariah keperluan pemakanan masyarakat Muslim setempat terus dipenuhi.

"Kami akan terus mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap daging atau produk halal yang diimport yang digunakan oleh perniagaan serta pengilang makanan kami yang disahkan halal di Singapura selain daging disembelih sewaktu ibadah Korban menjelang, yang akan dijalankan di Australia dan dagingnya dihantarkan ke Singapura," katanya.

MUIS juga menggesa masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mahupun menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung perkara tersebut sementara siasatan masih dijalankan. - AGENSI

Berita Harian X