Isnin, 16 Mei 2022 | 6:31pm
Bas yang membawa 31 penumpang itu melanggar tiang papan iklan itu sebelum berpusing di atas lebuh raya yang menghubungkan bandar Mojokerto ke Surabaya. - Foto TWITTER
Bas yang membawa 31 penumpang itu melanggar tiang papan iklan itu sebelum berpusing di atas lebuh raya yang menghubungkan bandar Mojokerto ke Surabaya. - Foto TWITTER

Nahas bas pelancong Indonesia ragut 14 nyawa

SURABAYA: Sekurang-kurangnya 14 individu terbunuh dan lebih 12 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa pelancong tempatan, melanggar papan iklan di Jawa Timur, Indonesia awal pagi ini.

Bas itu yang membawa 31 penumpang, selain pemandu dan seorang kru, melanggar tiang papan iklan itu sebelum berpusing di atas lebuh raya yang menghubungkan bandar Mojokerto ke Surabaya.

Pegawai tempatan, Ridwan Mubarun, berkata mangsa kejadian itu datang dari Benowo, sebuah kampung berhampiran Surabaya, dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Dataran Tinggi Dieng, yang sejauh kira-kira 400 kilometer di Jawa Tengah.

Ketua polis Mojokerto, Rofiq Ripto Himawan, berkata pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas itu ketika ini.

"Seramai 14 individu maut dan 19 lagi mengalami kecederaan kecil dan serius," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, seorang jurucakap polis Jawa Timur memaklumkan kejadian berkenaan disyaki berpunca daripada kesalahan pemandu.

"Nahas ini berpunca daripada kesilapan manusia, pemandu mungkin kepenatan atau mengantuk," kata Dirmanti kepada Metro TV.

Satu laporan polis menyatakan bahawa cuaca dan trafik berada dalam keadaan baik ketika nahas itu berlaku pagi tadi, manakala pemandu bas berkenaan terselamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. - AFP

Berita Harian X