Sabtu, 14 Mei 2022 | 8:12pm
Peniaga menawarkan lembu untuk dijual di Sibreh, Aceh, Indonesia. - Foto EPA
Peniaga menawarkan lembu untuk dijual di Sibreh, Aceh, Indonesia. - Foto EPA

Indonesia mulakan vaksinasi ternakan untuk kekang FMD

JAKARTA: Indonesia, yang sudah membasmi penyakit kuku dan mulut (FMD) menyerang lembu pada 1970an, sedang menghasilkan vaksin untuk penyakit terbabit.

Usaha itu digerakkan bagi menghentikan penularan wabak berkenaan yang sudah merebak ke enam kawasan di wilayah Aceh dan Jawa Timur.

Menteri Pertanian Indonesia, Syahrul Yasin Limpo, berkata virus yang menjangkiti ribuan lembu itu dikenali sebagai stereotaip O IND2001, iaitu strain yang biasa ditemui di Asia Tenggara.

Katanya, vaksin tempatan sedang dihasilkan ketika ini, yang dijangka siap dalam tempoh 20 hari dan sementara menunggunya siap, kerajaan Indonesia akan menggunakan vaksin import terhadap ternakan yang dijangkiti.

Penularan wabak itu yang melanda ketika sambutan Aidilfitri, bakal meningkatkan import daging Indonesia yang diunjurkan mencecah 193,223 tan tahun ini.

Daging yang dihasilkan di negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia itu kini hanya memenuhi 70 daripada keperluan tahunannya, manakala selebihnya diimport dari beberapa negara seperti Australia, New Zealand, India dan Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, kerajaan Indonesia memberi jaminan bekalan lembu mencukupi untuk sambutan Aidiladha Julai nanti, di mana lembu dan kambing yang disembelih ketika itu merangkumi sekitar 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan ternakan di negara itu.

Syahrul berkata, kementeriannya akan mengeluarkan garis panduan khas untuk pemindahan lembu bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Selain itu, katanya, kemasukan lembu hidup di sempadan akan dipantau, khususnya dari negara yang belum mengisytiharkan bebas daripada wabak itu.

Kerajaan tempatan pula diminta meningkatkan usaha mengasing dan melaksanakan perintah berkurung di kawasan dalam lingkungan tiga hingga 10 kilometer daripada kampung atau daerah dijangkiti, selain ubat, vitamin dan ejen pembasmi kuman sudah diagihkan kepada petani.

Syahrul berkata, pakar veterinar dan pegawai kerajaan turut dikerah memantau pusat penyembelihan untuk memastikan prosedur yang betul dilaksanakan, termasuk langkah melupuskan organ yang dijangkiti

FMD adalah wabak bawaan udara dan tersebar menerusi kontak rapat, namun tidak menjangkiti manusia, katanya.

"Daging daripada lembu yang dijangkiti selamat untuk dimakan, namun tidak bagi kawasan sekitar kaki dan mulut, termasuk lidah dan organ dalaman mereka," katanya. - AGENSI

Berita Harian X