Jumaat, 13 Mei 2022 | 7:51pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

FMD tidak jejas bekalan haiwan korban Aidiladha

JAKARTA: Wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ribuan haiwan ternakan di beberapa daerah di Aceh dan Jawa Timur dijangka tidak memberi kesan terhadap bekalan haiwan korban menjelang Aidiladha.

Kementerian Pertanian memberi jaminan stok haiwan korban pasti mencukupi dan tidak terganggu biarpun wabak berleluasa sekarang dan Aidiladha tahun ini dijangka disambut pada 10 Julai ini.

Ketua Pengarah Penternakan dan Kesihatan Haiwan di kementerian itu, Nasrullah, berkata keperluan haiwan ternakan bagi korban kebiasaannya merangkumi 10 hingga 20 peratus daripada jumlah ternakan semasa sedia ada.

"Insya Allah, stok haiwan korban terjamin menjelang Aidiladha tahun ini, kita akan pastikan bekalan tidak terganggu dan haiwan korban yang dipilih bebas daripada sebarang penyakit," katanya, yang dipetik Kompas.com.

Selain itu, beliau juga memaklumkan pihak berkuasa akan mengatur prosedur yang bersesuaian bagi membolehkan haiwan korban dihantar ke lokasi dan wilayah lain secara lancar lagi selamat.

"Dalam masa dua hingga tiga minggu sebelum Aidiladha, kita akan pastikan stok haiwan korban mencukupi," katanya.

Sehingga kini, terdapat dua daerah yang dilanda wabak FMD iaitu di Aceh dan Jawa Timur. - AGENSI

Berita Harian X