Jumaat, 13 Mei 2022 | 5:30pm
Kesesakan kenderaan Malaysia yang menyeberangi Tambak Johor memasuki Singapura. - Foto NSTP
Kesesakan kenderaan Malaysia yang menyeberangi Tambak Johor memasuki Singapura. - Foto NSTP

Lebih ramai warga Malaysia mohon kerja di Singapura

SINGAPURA: Jumlah iklan pekerjaan dan pemohon pekerjaan dari Malaysia meningkat selepas kedua-dua negara membuka sempadan 1 April lalu, menurut perangkaan beberapa gerbang pekerjaan.

Dalam tempoh empat minggu selepas pengumuman pembukaan semula sempadan pada 24 Mac lalu, bilangan iklan pekerjaan di FastJobs meningkat 15 peratus berbanding setahun lalu, kata syarikat FastJobs.

Bilangan pekerja Malaysia yang membuat permohonan kerja juga meningkat berlipat ganda berbanding setahun lalu atau empat minggu sebelumnya.

Dari 20 Mac hingga 16 April, terdapat 7,500 pemohon pekerjaan warga Malaysia dalam FastJobs, naik tiga kali ganda berbanding 2,538 setahun lalu, kata FastJobs kepada The Business Times Singapura.

Ia juga meningkat 2.5 kali berbanding 2,918 pemohon dari 20 Februari hingga 19 Mac.

Sempadan yang dibuka antara Malaysia dengan Singapura pada 1 April membolehkan mereka yang menerima suntikan vaksin penuh COVID-19 untuk memasuki kedua-dua negara tanpa ujian coronavirus atau kuarantin.

Satu lagi gerbang pekerjaan, JobStreet, juga melihat iklan dan pemohon pekerjaan meningkat sejak sempadan dibuka, namun enggan memberikan perangkaan pemohon dari Malaysia.

Pengarah urusan JobStreet Singapore, Chew Siew Mee, berkata beberapa sektor menyumbang kepada kenaikan iklan pekerjaan termasuk sumber manusia (HR), pendidikan, makanan dan minuman (F&B), serta runcit.

Pengurus besar FastJobs Singapore, Lim Huishan, menjangkakan pemulihan dan permintaan lebih tinggi dalam pelbagai sektor ketika syarikat memulakan usaha menggajikan semula pekerja, termasuk sektor pelancongan.

Tambah beliau, kebanyakan iklan pekerjaan FastJobs termasuk pergudangan, logistik, pelayan, F&B, penjualan, runcit, pemasaran dan khidmat pelanggan.

Pemangku Presiden Persekutuan Pengilang Singapura (SMF), Ryan Chioh, berkata beberapa anggotanya menggajikan rakyat Singapura pada April lalu, yang menyumbang kepada peningkatan antara 20 dengan 50 peratus.

Namun, tambah beliau, ada juga anggotanya melihat lebih ramai pekerja Malaysia yang pulang ke negara mereka.

Presiden Persatuan Pengurusan Makanan & Minuman (FBMA), Kung Teong Wah, berkata hotel menyaksikan peningkatan 10 hingga 15 peratus dalam permohonan kerja dari Malaysia tetapi banyak syarikat pengurusan hotel sudah mencapai tahap maksimum kuota warga asing dalam jumlah pekerja mereka. - AGENSI

Berita Harian X