Jumaat, 13 Mei 2022 | 5:17pm
Seorang lelaki sedang memeriksa anak pokok ganja. - Foto REUTERS
Seorang lelaki sedang memeriksa anak pokok ganja. - Foto REUTERS

Thailand edar sejuta pokok ganja kepada penduduk

BANGKOK: Kerajaan Thailand akan mengedar lebih sejuta pokok ganja secara percuma kepada rakyatnya di seluruh negara Jun ini, menandakan pelaksanaan undang-undang baharu membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, menerusi pengumuman pada laman Facebook miliknya, berkata beliau berhasrat menjadikan pokok ganja sebagai tumbuhan yang ditanam di rumah.

Di bawah undang-undang baharu itu, yang akan berkuat kuasa pada 9 Jun, penduduk Thailand boleh menanam pokok ganja di rumah, namun perlu mendapat kebenaran kerajaan tempatan.

Tumbuhan itu pula terhad kepada gred tanaman perubatan dan hanya digunakan untuk tujuan berkenaan.

Selain itu, undang-udang terbabit turut melarang penduduk menanam pokok ganja untuk tujuan komersil tanpa memperoleh lesen yang sah.

Individu yang didapati menanam ganja tanpa kebenaran kerajaan akan didenda sehingga 20,000 baht (RM2,526) dan menetapkan denda sehingga 300,000 baht (RM37,900) atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya jika menjualnya tanpa kebenaran.

Dalam satu hantaran lain di Facebook sebelum ini, Anutin berkata syarikat negara itu yang berdaftar boleh menjual ganja mengandungi kurang daripada 0.2 tetrahydrocannabinol atau THC, bahagian dalam tumbuhan itu yang mengandungi bahan mengkhayalkan.

"Langkah ini membolehkan kerajaan dan rakyat menjana perolehan lebih 10 bilion baht (RM1.26 bilion) setahun daripada ganja dan produk sampingan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X