Rabu, 11 Mei 2022 | 8:25pm
 AFP
AFP

Malaysia perlu sokong AS mengenai keganasan junta Myanmar

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar memanfaatkan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) di Washington DC esok, untuk memperaku iltizam kerajaan AS, berhubung tindakan keganasan ke atas etnik minoriti Rohingya di Myanmar.

Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia Mengenai Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata AS menyifatkan tindakan itu menyamai pembunuhan beramai-ramai serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Katanya, Malaysia juga harus menggesa AS dan masyarakat antarabangsa memberikan lebih banyak tekanan kepada negara di rantau ini untuk memutuskan hubungan ketenteraan dengan tentera Myanmar.

"Selain itu, gesaan perlu dibuat supaya negara di rantau ini mengenakan sekatan senjata dan bekerjasama rapat ke arah mencapai penyelesaian terbaik untuk pelarian Myanmar di wilayah ini, termasuk etnik Rohingya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Hamid berkata, beliau turut menyokong penuh cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, iaitu ASEAN perlu terbabit dengan pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC), dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik di negara itu, selari dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Beliau berkata, pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN yang sudah lama tertangguh perlu diberi perhatian, selain memudahkan akses segera dan tanpa halangan, untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada semua masyarakat yang terjejas di Myanmar.

"Mesyuarat Perundingan Mengenai Bantuan Kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar di Phnom Penh, 6 Mei lalu hanya membabitkan Majlis Pentadbiran Negara tentera Myanmar dan mengecualikan Kerajaan Perpaduan Nasional dan rangkaian bantuan kemanusiaan tempatan, di Myanmar serta di sepanjang sempadan yang juga kunci kepada penyampaian bantuan, bagi menyelamatkan nyawa.

"Semua pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional perlu terbabit untuk memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berkesan dan saksama, tanpa diskriminasi," katanya.

Pada minggu lalu, Saifuddin berkata, Malaysia akan terus terbabit dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional, susulan konflik kemanusiaan berpanjangan di Myanmar.

Katanya, melihat kepada situasi semasa, terdapat keperluan untuk semua pihak berkepentingan terbabit secara tidak langsung sebagai tanda sokongan moral dan solidariti.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN-AS dijadual berlangsung selama dua hari, bermula esok sehingga Jumaat.

Berita Harian X