Selasa, 3 Mei 2022 | 8:55pm
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto REUTERS

PM Kemboja rayu junta Myanmar beri akses kepada Suu Kyi

PHNOM PENH: Kemboja menggesa Myanmar membenarkan utusan khas Asia Tenggara mendapat akses kepada pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Dalam gesaan yang paling lantang setakat ini, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen meminta Jeneral Tertinggi Myanmar, Min Aung Hlaing, menunjukkan komitmen terhadap proses keamanan serantau.

Beliau yang juga Pengerusi ASEAN, dalam panggilan video semalam memberitahu Aung Hlaing adalah penting utusan itu bertemu semua pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk Suu Kyi.

Myanmar bergolak sejak Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih pimpinan Suu Kyi 15 bulan lalu dan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, disabitkan dengan tuduhan rasuah serta menghasut.

Lima perkara dalam 'Konsensus Keamanan' dicapai ASEAN berkaitan Myanmar, yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa besar, kekal sebagai satu-satunya inisiatif diplomatik rasmi ke atas negara itu.

Kata Hun Sen, pemimpin serantau juga kecewa dengan tindakan junta di Myanmar, yang sering menyaksikan orang awam menjadi mangsa keganasan melampau.

"Saya menekankan semula kepentingan akses bagi utusan khas untuk bertemu semua pihak yang berkenaan di Myanmar.

"Ini untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi memulakan dialog politik yang inklusif," menurut kenyataan Kementerian Luar Kemboja mengenai gesaan Hun Sen.

Sebagai reaksi gesaan itu, Aung Hlaing 'berjanji untuk memudahkan pertemuan dengan pihak lain yang berkenaan', katanya

Beliau berkata, pihak berkuasa Myanmar akan memudahkan pengagihan bantuan kemanusiaan manakala jurucakap Pemerintah Tentera Myanmar tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai gesaan Kemboja.

ASEAN menghalang jeneral Myanmar itu daripada menghadiri mesyuarat utamanya, termasuk sidang kemuncak yang akan datang di Amerika Syarikat (AS), sehingga tenteranya menamatkan permusuhan, membenarkan dialog dan akses kemanusiaan.

Rejim Tentera Myanmar berkata ia komited kepada perjanjian itu tetapi mempunyai kewajipan untuk memastikan keselamatan.

Gesaan Hun Sen susulan lawatan utusannya yang juga menteri luar Kemboja, Prak Sokhonn, ke Myanmar Mac lalu, yang mana aktivis kerajaan mendakwa wakil itu tidak bertemu pihak lain dalam konflik itu.

Prak Sokhonn, selepas pertemuan itu berkata beliau mencari akses untuk menemui Suu Kyi, tetapi ditolak.

Dua bulan sebelum itu, beliau mengkritik desakan seorang utusan terdahulu mengenai akses kepada Suu Kyi sebagai 'tidak produktif'. - REUTERS

Berita Harian X