Isnin, 2 Mei 2022 | 2:25pm
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh. - Foto EPA
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh. - Foto EPA

Rakyat Indonesia syukur dapat beraya di kampung halaman

JAKARTA: Rakyat Indonesia yang beragama Islam hari ini menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh gembira dan rasa syukur selepas pemerintah membenarkan mereka pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Buat pertama kali sejak wabak COVID-19 melanda pada 2020, tahun ini mereka bebas merayakan Aidilfitri dalam suasana riang, sekaligus menyambung tradisi bermaaf-maafan sesama ahli keluarga di pagi raya.

Menyedari detik itu suatu yang sangat bermakna, Presiden Joko Widodo (Jokowi), dalam ucapan beliau menzahirkan rasa syukur kerana masyarakat telah dibenarkan berkumpul dengan ibu bapa, keluarga dan sanak saudara.

Ditayangkan di YouTube Sekretariat Kabinet, beliau dan isteri turut memohon maaf zahir dan batin.

Jokowi menunaikan sembahyang Aidilfitri di Yogyakarta.

Di sebalik keriuhan di luar kota, kota raya Jakarta yang kebiasaannya hiruk pikuk dengan aktiviti masyarakat dan kesesakan lalu lintas bertukar sepi selepas sebahagian besar penduduk pulang ke kampung.

Sambutan Hari Raya di sini bermula sejak Ahad malam apabila jemaah di setiap masjid dan surau melaungkan takbir berselang seli dengan bunyi mercun.

Jam 7:00 pagi waktu Indonesia barat, naib presiden, Ma'ruf Amin dan pemimpin kerajaan menyertai umat Islam bersembahyang di Masjid Istiqlal yang dibenarkan menampung kira-kira 100,000 jemaah.

Pemerintah bagaimanapun terus mengingatkan masyarakat agar sentiasa waspada, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan sabun dan menjaga jarak termasuk ketika beribadah di masjid.

Sementara itu, rakyat Malaysia di Jakarta menunaikan sembahyang di Dewan Serbaguna Kedutaan Malaysia di Kuningan, diimamkan atase agama, Ustaz Muhammad Naqzrul Azraf Mhd Nazarludin diikuti sesi bermaafan.

Kira-kira 200 orang lengkap berpakaian baju Melayu bersamping songket dan baju kurung berwarna warni menikmati jamuan tradisional Malaysia seperti lemang dan rendang, kuih serta teh tarik.

Di majlis itu, Education Malaysia Indonesia, Kementerian Pengajian Tinggi di bawah flagship EM4U@Care turut mengagihkan barang makanan kepada 100 pelajar Malaysia di sekitar Jakarta dan kanak-kanak sumbangan Malaysian Airlines dan pengeluar produk masakan iaitu Adabi.

Barang-barang disampaikan Menteri Penasihat, Juraida Abd Jamil dan Penasihat Pendidikan, Mohd Mubarak Shamsuddin. - BERNAMA

Berita Harian X