Selasa, 26 April 2022 | 1:31pm
Gambar hiasan. - Foto fail AFP
Gambar hiasan. - Foto fail AFP

Indonesia dijangka perluas sekatan eksport minyak sawit

JAKARTA: Indonesia bersedia untuk memperluaskan sekatan eksport minyak kelapa sawit yang ketika ini hanya terpakai kepada minyak sawit bertapis.

Langkah sedemikian akan dilaksanakan jika republik berkenaan berdepan kekurangan sumber produk terbitan yang digunakan dalam minyak masak.

Pengeksport minyak kelapa sawit terbesar dunia itu merancang sejak Khamis lalu, untuk menghentikan penghantaran minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).

Pegawai kanan kerajaan, Musdhalifah Machmud, berkata Indonesia akan membenarkan eksport minyak sawit mentah atau produk terbitan lain.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa masih akan memantau bekalan domestik minyak sawit bertapis dan minyak sawit mentah, yang digunakan sebagai bahan mentah bagi menghasilkan RBD.

"Jika ada kekurangan minyak sawit bertapis, maka sekatan eksport akan diperluaskan," antara isi kandungan pembentangan kepada syarikat minyak kelapa sawit, semalam.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, Jumaat lalu mengumumkan sekatan eksport minyak masak dan bahan mentahnya, demi mengawal peningkatan harga tempatan, namun tidak memberikan sebarang perincian lanjut.

Pengumuman oleh Indonesia mencetuskan peningkatan harga minyak makan di peringkat global, memandangkan bekalan kini terjejas ekoran cuaca buruk dan kesan pencerobohan Russia di Ukraine.

Pasaran sebelum ini menjangkakan sekatan sedemikian bakal meliputi rangkaian produk minyak kelapa sawit.

"Pada pandangan kami, sekatan ini berkemungkinan bersifat sementara, selepas permintaan domestik mewakili satu pertiga daripada kadar pengeluaran, inventori kembali pulih dan harga stabil.

"Sekatan kemudian berkemungkinan akan ditarik balik," menurut DBS Bank dalam nota kajiannya.

Mata wang rupiah kembali melonjak 0.4 peratus, pagi tadi selepas merekodkan penyusutan 0.7 peratus semalam susulan kebimbangan sekatan eksport akan menjejaskan prestasi perdagangan Indonesia, manakala saham syarikat kelapa sawit tempatan mencatatkan sedikit peningkatan.

Penanda aras minyak sawit mentah Malaysia yang turut terjejas ekoran pengumuman Indonesia itu dilihat kembali meningkat pada kadar 2.8 peratus, hari ini. - REUTERS

Berita Harian X