Selasa, 19 April 2022 | 9:21pm
Pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang digulingkan junta tentera dan kini dikenakan tahanan di rumah. - Foto REUTERS
Pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang digulingkan junta tentera dan kini dikenakan tahanan di rumah. - Foto REUTERS

Lawatan wakil ASEAN gagal capai kemajuan

YANGON: Ketegasan dan keengganan junta tentera Myanmar bertolak ansur dalam rundingan damai cuba diusahakan wakil ASEAN menjadi punca utama kemelut berterusan di negara itu.

Justeru, tidak hairanlah jika lawatan wakil khas ASEAN, Prak Sokhonn, ke negara terbabit baru-baru ini disifatkan banyak pihak sebagai gagal.

Beliau yang juga Menteri Luar Kemboja, tidak dapat memujuk pemimpin tentera Myanmar bersetuju melakukan kemajuan dalam mencari definisi damai yang dapat diterima semua pihak.

Beliau juga tidak diizinkan menemui bekas pemimpin pemerintah awam yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, juga pemimpin utama Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang kini ditahan dan dikenakan pelbagai tuduhan jenayah.

Semasa pulang ke negaranya selepas lawatan itu, Prak berkata krisis Myanmar kemungkinan besar tidak boleh diselesaikan ketika negaranya menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.

"Isu Myanmar rumit, ia memerlukan masa lama untuk dihuraikan," katanya memberi kenyataan yang sama seperti yang beliau berikan sebelum berlepas ke Myanmar.

Mandat Prak sebagai wakil khas ASEAN adalah memulakan dialog antara 'semua pihak yang berkenaan' dalam usaha menyelesaikan krisis rampasan kuasa tentera di Myanmar pada Februari 2021.

Namun, dengan pihak tentera di Naypyitaw mahu bertindak sebagai pemain utama, terdapat harapan tipis beliau akan dapat bertemu dengan pihak utama yang menentang rejim sekarang.

Ramai daripada mereka dikenakan hukuman penjara atau dianggap sebagai pengganas oleh junta, yang menggunakan alasan itu untuk menghalang mereka menemui pihak luar.

Prak, ketika lawatannya, hanya dibawa bertemu pemimpin junta termasuk pemimpin tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, Menteri Luar, Wunna Maung Lwin dan beberapa pemimpin lain.

Walaupun pada April 2021, ASEAN mencapai persetujuan mengenai konsensus lima perkara bagi menangani kemelut politik di Myanmar, ia masih gagal dicapai sehingga kini.

Malah, seorang anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) NLD, Aung Kyi Nyunt, berkata Prak juga gagal melakukan perkara itu.

NLD menyatakan seramai 645 anggotanya ditahan setakat 14 Mac lalu iaitu 92 Anggota Parlimen termasuk Suu Kyi.

Satu perkembangan 'menggalakkan' dalam lawatan itu adalah apabila Prak berkata Aung Hlaing sedia menimbangkan permohonan untuk bertemu Suu Kyi pada masa depan.

Namun, junta Myanmar menegaskan laluan bagi masa depan negara itu 'mestilah proses yang dimiliki dan diterajui Myanmar', satu petanda bahawa junta tentera mahu menentukan rentak dan cara perubahan yang diinginkan. - AGENSI

Berita Harian X