Ahad, 17 April 2022 | 3:19pm
Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS
Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS

Serangan bulan Ramadan tidak jejas rundingan - Kerajaan Thailand

BANGKOK: Rundingan damai antara kerajaan Thailand dan puak pemisah di selatan negara itu akan diteruskan walaupun insiden pengeboman masih diteruskan oleh kumpulan pemberontak di bulan Ramadan.

Jumaat lalu, kumpulan "G5" iaitu Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) melancarkan dua serangan bom yang menyebabkan seorang terbunuh dan tiga anggota polis tercedera.

Ia selepas PULO dikecualikan daripada perbincangan antara Bangkok dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang bersetuju, kita-kira dua minggu lalu untuk menghentikan keganasan sepanjang bulan suci umat Islam sehingga 14 Mei ini.

Lebih 7,300 orang terbunuh sejak 2004 dalam pertempuran antara kerajaan dan beberapa kumpulan yang tidak jelas, bagi menuntut kemerdekaan bagi wilayah majoriti Melayu-Islam iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian daripada Songkhla.

Wilayah itu adalah sebahagian daripada Kesultanan Patani yang diambil alih oleh Thailand dalam perjanjian 1909 bersama Britain.

Pihak perunding kerajaan mengutuk keganasan itu, namun memaklumkan perjanjian damai dengan BRN masih berkuatkuasa.

Koordinator daripada kedua-dua pihak sedang bekerja rapat untuk menghalang yang lain daripada merosakkan perbincangan itu.

"Mengumpulkan semua untuk dialog keamanan adalah isu dalaman untuk pihak lain, namun pasukan Thailand gembira dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan semua kumpulan," tulis delegasi kerajaan.

BRN enggan mengulas.

Perbincangan itu bertujuan mencari penyelesaian politik bagi konflik yang berlanjutan selama beberapa dekad di bawah kerangka perlembagaan Thailand.

Rundingan itu bagaimanapun sering tergendala sejak 2013 dan pertemuan terakhir adalah pada 2019.

Presiden PULO, Kasturi Mahkota berkata rundingan itu "tidak membabitkan semua pihak dan berjalan terlalu pantas."

Kumpulan pemberontak membantah kepada perjanjian itu yang tidak memasukkan kemungkinan kemerdekaan daripada Thailand yang majoritinya adalah penganut Buddha. - REUTERS

Berita Harian X