Sabtu, 16 April 2022 | 5:34pm
Grafiti pemisah dilihat di jalan raya berhampiran Pattani, salah satu daripada tiga wilayah paling selatan Thailand di mana tentera kerajaan memerangi pemberontak Islam sejak 2004. Grafiti berbunyi "Hei Siam - kembalikan hak kami". - Foto REUTERS
Grafiti pemisah dilihat di jalan raya berhampiran Pattani, salah satu daripada tiga wilayah paling selatan Thailand di mana tentera kerajaan memerangi pemberontak Islam sejak 2004. Grafiti berbunyi "Hei Siam - kembalikan hak kami". - Foto REUTERS

Pemberontak diketepikan daripada rundingan bertanggungjawab atas pengeboman

BANGKOK: Pemberontak Thailand yang diketepikan daripada rundingan damai mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman maut di kawasan majoriti penduduk Islam di bahagian selatan negara itu, semalam.

Pengeboman itu ternyata melanggar cuti Ramadan yang dipersetujui antara kumpulan pemberontak utama dan kerajaan.

Presiden kumpulan militan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (Pulo), Kasturi Mahkota, berkata dua letupan berlaku hingga meragut nyawa seorang awam dan mencederakan tiga anggota polis, dilakukan oleh kumpulan dikenali G5.

Kasturi melalui telefon berkata, letupan di wilayah Pattani adalah perkara biasa bagi Pulo yang diketepikan daripada rundingan antara kerajaan dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang bersetuju dua minggu lalu untuk menghentikan keganasan semasa bulan Ramadan sehingga 14 Mei.

"Rundingan itu tidak cukup inklusif dan ia berjalan terlalu pantas," katanya di mana kumpulannya membantah perjanjian yang akan mengecualikan kemungkinan kemerdekaan daripada Thailand dengan majoriti penganut Buddha.

Dalam pada itu, jurucakap pasukan keselamatan Thailand di selatan, Kolonel Kiatisak Neewong, berkata Pulo berkemungkinan bertanggungjawab terhadap pengeboman yang bertujuan mengganggu gencatan senjata pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, pasukan Thailand pada rundingan damai dan BRN enggan mengulas.

Rundingan yang sering tergendala sejak awal 2013 itu mencari penyelesaian politik kepada konflik selama beberapa dekad di bawah kerangka perlembagaan Thailand.

Lebih 7,300 orang terbunuh sejak 2004 dalam pertempuran antara kerajaan dan kumpulan gelap yang menuntut kemerdekaan bagi wilayah Melayu-Islam Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Kawasan itu adalah sebahagian daripada kesultanan Patani yang diilhamkan oleh Thailand dalam perjanjian 1909 dengan Britain. - REUTERS

Berita Harian X